Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan hari cuti hujung minggu di Johor yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi memberitahu, langkah itu ekoran terdapat keluhan daripada masyarakat mengenai hari cuti sektor swasta berbeza di negeri itu.

Katanya permintaan itu akan dikaji semula bagi memastikan ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

“Mendengar keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza untuk pihak kerajaan dan pihak swasta. Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini agar ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

“Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika berucap ketika menyampaikan Amanat Menteri Besar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Keputusan itu berikutan dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan dibuat bagi memudahkan kaum lelaki beragama Islam menunaikan solat Jumaat dalam keadaan sempurna dan tidak tergesa-gesa.

Selain Johor, negeri-negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terenganu turut mengamalkan cuti Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu di negeri masing-masing.

Onn Hafiz memberitahu, kerajaan negeri juga serius mahu mengubah budaya kerja dengan meningkatkan keberkesanan, keseragaman dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam supaya pelabur lebih tertarik untuk datang melabur di Johor.

“Saya yakin bahawa apabila soal tadbir urus kerajaan berjaya ditambah baik dan diperkemas, keyakinan rakyat dan pelabur juga akan dapat ditingkatkan.

“Ini pastinya mampu memberikan lonjakan kepada ekonomi negeri yang secara langsung bakal menyumbang kepada kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya lagi.- MalaysiaGazette