logo mahlamah

PARIT BUNTAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya yang 15 keratan bahagian badannya ditemukan dalam tangki kumbahan di sebuah rumah.

Ng Yu Lim, 42, didakwa membunuh Ong Suan Bee, 68, di sebuah rumah di Taman Kerian di sini antara pukul 2.30 pagi hingga 3 pagi, 26 Mei lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Yan Ni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 27 Julai bagi mendapatkan laporan perubatan.

Pada 4 Jun lepas, polis menahan tertuduh susulan penemuan potongan daging menyerupai anggota badan manusia di dalam tangki kumbahan rumah itu dan turut merampas sebilah parang, dua pisau serta barang-barang lain.

Bau busuk membawa kepada penemuan 15 keratan bahagian badan seorang wanita warga emas dalam tangki kumbahan itu.

Lelaki itu yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik pernah menerima rawatan sebagai pesakit mental di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang 20 tahun lepas namun tidak menerima rawatan susulan. – Bernama