Gambar hiasan

KUANTAN – Malaysia masih menantikan keputusan rayuan kuota haji dari Arab Saudi agar dapat menghantar lebih jemaah haji ke tanah suci pada tahun ini.

Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, kerajaan mengharapkan perkhabaran yang baik berkenaan permohonan itu sebelum tarikh pernerbangan akhir nanti.

“Sehingga kini memang belum ada sebarang perkembangan dimaklumkan pihak kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan tersebut.

“Kita sudah cuba dan kita harapkan yang terbaik daripada mereka,” katanya ketika sidang media sejurus perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Pahang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas perkembangan permohonan kuota jemaah haji.

Terdahulu Riyadh memperuntukkan kuota seramai 14,306 orang jemaah dari Malaysia dan ia adalah lebih rendah berbanding kadar yang lazim diberikan.

Manakala pada 16 Mei lepas, Malaysia telah mengemukakan rayuan permohonan untuk mendapatkan kuota tambahan sebanyak 5,000 lagi.

Difahamkan sesi penerbangan terakhir jemaah haji ke Mekah dijadualkan pada 2 Julai ini selepas jemaah haji awal mula berlepas pada 31 Mei lalu. – MalaysiaGazette