Mayat hampir reput ditemui terapung di kedudukan 7.0 batu nautika barat laut Pulau Bunting, Yan, Kedah pagi tadi. Foto Ihsan APMM.

KUALA LUMPUR – Satu mayat hampir reput ditemui terapung di kedudukan 7.0 batu nautika barat laut Pulau Bunting, Yan, Kedah pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mayat yang lengkap berpakaian tanpa identiti itu ditemui oleh bot nelayan tempatan pada jam 10.50 pagi.

“Terdahulu, pengadu menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan memindahkan mayat berkenaan berikutan kesukaran melakukan proses mengambil mayat yang hampir reput itu.

“Susulan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia (APMM) digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dibawa ke Terminal Feri Kuala Kedah dan diserahkan kepada pihak polis. Foto Ihsan APMM.

Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Terminal Feri Kuala Kedah dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Balai Polis Yan di talian 04-4655222. – MalaysiaGazette