KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin DAP dan parti MUDA digesa supaya berhenti daripada menunjukkan kebodohan berhubung Festival Bon Odori.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, tindakan sesetengah pemimpin parti politik yang cuba ‘menyerang’ Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mufti dan kerajaan Kelantan berhubung perkara tersebut dilihat sebagai dangkal.
Katanya, mereka yang terbabit telah menghina institusi agama Islam seolah-olah mereka lebih arif terhadap hukum Islam berbanding pihak JAKIM dan pejabat mufti.
“Kami turut menggesa pimpinan MUDA yang beragama Islam dan beberapa individu di dalam Sisters of Islam yang lantang mengecam JAKIM dan menggunakan perbandingan terhadap kerajaan PAS pada tahun 2018 agar bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Kajian dibuat pada tahun ini melarang umat Islam merayakan Bon Odori turut diambil tindakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan kerana pada tahun 2022, mereka mengeluarkan unsur syirik Bon Odori di dalam perayaan budaya masyarakat Jepun yang berlangsung di Kelantan.
“Semua pihak perlu peka dan prihatin akan perbezaan perayaan agama dan perayaan budaya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dengan memberikan contoh, Shahir berkata, umat Islam di negara ini tidak akan mengajak penganut agama lain untuk menyertai khutbah Hari Raya Aidilfitri dan solat bersama-sama kerana menghormati agama masing-masing.
Bagaimanapun, katanya, dari segi budaya, acara rumah terbuka dan makan-makan diraikan bersama-sama tanpa mengira agama bagi mengukuhkan perpaduan rakyat di negara ini.
Beliau hairan pemimpin DAP dan MUDA cuba mempolitikkan perkara tersebut apabila membuat analogi sama ia boleh dibuat untuk perayaan Jepun.
Tambahnya, umat Islam di negara ini disaran untuk mendengar nasihat daripada pihak berwajib yang bertanggungjawab atas perkara-perkara berkaitan agama Islam.
“Seharusnya, nasihat Menteri Agama (Islam), Mufti-Mufti seperti di Pulau Pinang dan Perlis serta JAKIM perlu diambil berat.
“Adakah kita mahu mendengar nasihat agama daripada mereka yang tidak punya tauliah dan dangkal ilmu agama Islam daripada pimpinan DAP yang tidak beragama Islam atau ahli-ahli politik MUDA yang seangkatan dengannya? Siapa yang keliru sekarang?” soalnya. – MalaysiaGazette