ALOR SETAR – Gara-gara terperdaya dengan sindiket Love Scam, seorang pesara wanita berputih mata apabila simpanannya berjumlah RM220,500 lesap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 60 tahun itu pada mulanya berkenalan dengan individu bernama Amran Mohammad Ali di Facebook sejak bulan November tahun lalu.
Kata beliau, mangsa yang berasal dari Pendang itu dipercayai kesunyian selepas kematian suaminya sejak 2008 dan mula berhubung dengan suspek menerusi Facebook sebelum menyambung perhubungan mereka menggunakan aplikasi WhatsApp.
“Dalam perkenalan itu suspek memaklumkan dia merupakan seorang doktor di Syria sebelum meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan beberapa transaksi wang ke dalam akaunnya kerana sering berada dalam kesusahan.
“Atas dasar percaya yang melampau, mangsa bersimpati dengan nasib lelaki itu menyebabkan dia memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam tujuh akaun bank berbeza diberikan suspek.
“Susulan itu, mangsa membuat 51 transaksi berjumlah RM220,500 ke dalam kesemua akaun yang diberikan bermula Disember 2021 hingga Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, sedar akan dirinya ditipu, wanita tersebut tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan dan membuat semakan nombor telefon atau nombor akaun bank menerusi laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu,” jelas beliau. – MalaysiaGazette