logo FELDA

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam perancangan untuk melaksanakan projek tanaman jagung bijian di tanah seluas 3,700 hektar dengan kerjasama FGV Holdings Berhad bagi membantu menyelesaikan isu kenaikan mendadak harga bekalan makanan untuk ternakan pula,

Projek ini dijangka dapat menyumbang sebanyak 5.0% daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan import jagung bijian negara lantas dapat menstabilkan harga, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh.

Felda juga akan merancakkan industri ternakan ayam melalui kerjasama ladang kontrak dengan Ayamas Food Corporation Sdn Bhd. Projek dengan pelaburan berjumlah RM23 juta ini menyasarkan penghasilan 640,000 ekor ayam setiap pusingan di lapan unit reban dua tingkat.

Projek yang dilaksanakan melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) akan dijalankan di kawasan seluas 20 ekar di FELDA Tun Ghaffar Bukit Senggeh, Melaka.

Menurut beliau, projek-projek ini di bawah inisiatif Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang diperkenalkan pada tahun 2019.

PPP dilaksanakan sebagai satu instrumen bagi mempelbagaikan serta meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti bukan berteraskan komoditi sawit dan getah, sekali gus bertindak sebagai serampang dua mata bagi membantu menyokong Dasar Sekuriti Makanan negara dengan meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) sekali gus mengurangkan kebergantungan import makanan negara.

”Komitmen Felda bagi menjayakan PPP bukan sahaja bagi meningkatkan pendapatan peneroka dan generasi baharu Felda tetapi juga merangkumi aspirasi yang lebih besar dalam membantu agenda nasional melalui sokongan yang jitu menjayakan Dasar Sekuriti Makanan Negara,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 8,543 projek PPP telah diluluskan untuk dijalankan secara individu dan juga melalui penglibatan koperasi serta badan peneroka.

Projek-projek ini telah memberi manfaat kepada 56,959 orang peneroka dan generasi baharunya.

Sebanyak 57% daripada projek PPP ini melibatkan aktiviti penternakan ayam kampung dan ternakan ruminan manakala 41% melibatkan aktiviti pertanian seperti tanaman cili dan timun secara fertigasi serta cendawan.

”Felda dengan kelebihan tanah yang luas mempunyai potensi yang baik untuk menjadi hab lembu pedaging seperti dilaksanakan di Felda Sahabat, Sabah.

”Secara keseluruhan, ternakan lembu secara integrasi ini akan melibatkan penggunaan tanah seluas 32,000 hektar. Bagi ternakan ruminan ini, FELDA dijangka dapat menyumbang sebanyak 2.5% daripada SSR nasional,” ujar beliau lagi.

Idris berkata, bagi meningkatkan produktiviti, pengaplikasian teknologi pintar turut diberi perhatian untuk diguna pakai dalam pelaksanaan projek-projek PPP.

Antara aplikasi yang akan digunakan adalah sistem cerapan dan penyiraman secara automatik dan boleh
dikawal dari jarak jauh dengan sistem pengaktifan suara. – MalaysiaGazette