Sukarelawan Misi USIMPrihatin akan berada di Kemaman, Terengganu untuk bantuan pasca banjir.

MASYARAKAT merupakan entiti asas yang penting dalam pembangunan negara justeru, entiti ini perlu dibangunkan dalam usaha mencapai kesejahteraan sejagat. Dalam usaha membangun masyarakat ini, individu adalah inti pati utama yang perlu merasai kepentingan diri mereka dalam komuniti yang didiami sekali gus individu yang membentuk kumpulan masyarakat perlu diperkasakan bagi memastikan pembangunan negara mencapai keseimbangan, kemajuan dan kelestarian kepada generasi hadapan.

Arus globalisasi yang mencetus masyarakat maya di saluran media sosial dan tuntutan pemodenan teknologi melalui Revolusi Industri 4.0 perlu dimanfaatkan sebagai satu mekanisme mendepani cabaran pemerkasaan masyarakat. Lonjakan
interaksi, perkongsian dan keterlibatan dalam masyarakat dapat dilakukan dengan lebih giat menerusi medium baharu ini. Maka, di sinilah peranan universiti sebagai ‘kilang’ proses keberhasilan dan melahirkan ummah terbilang dilihat penting untuk melangkah keluar bagi menangani polemik yang menghambat masyarakat menerusi pelbagai penjuru dan menjana perkembangan masyarakat agar sentiasa dinamik dan mapan.

Merakyatkan universiti adalah satu konsep yang perlu dipupuk dan dilaksanakan oleh setiap warga universiti ini bagi memastikan rakyat mendapat pulangan dari proses penjanaan dan kelestarian ilmu teori mahupun aplikasi. Hal ini bertepatan dengan slogan ‘University for Society-U4S’ yang digagaskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025. Pelan ini meletakkan gabung jalin yang menjadi paksi kepada merakyatkan universiti melalui model ‘Quadruple Helix Engagement’. Tuntasnya, model ini memperlihatkan kelestarian hubungan antara universiti, kerajaan, industri dan komuniti dalam memberi impak kepada masyarakat bagi membentuk perubahan ilmu pengetahuan, sikap, kemahiran dan aspirasi.

Bahkan entiti universiti yang dipandang tinggi oleh masyarakat seharusnya memberikan anjakan paradigma, status sosial dan ekonomi melalui hasilan produk serta perkhidmatan baharu yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Namun begitu dalam konteks merakyatkan universiti, gagasan ini perlu ditambahbaik mengikut nadi utama serta aspirasi setiap universiti di Malaysia. Konsep merakyatkan universiti sebagai sebuah institusi adalah didasari oleh enjin penggerak yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar dan pentadbir sebagai peneraju utama yang saling berhubungkait. Malah, interaksi dalam bentuk kerjasama di antara peneraju ini penting sebagai asas dalam mencapai hasrat memasyarakatkan universiti.

Konsep memasyarakatkan universiti adalah amat penting untuk diketengahkan dalam memacu pembangunan negara dan kefungsian sosial. Ianya menjadi jambatan antara dua entiti agar tidak terpisah dan tersasar dari konsep asal penubuhan universiti sebagai komuniti ilmu yang lestari. Jika dahulu, universiti giat mempraktiskan cara tradisionalnya sebagai tempat pengajian tertinggi sehingga mewujudkan tembok yang jelas dengan masyarakat. Bahkan, dahulunya “pintu” universiti hanya terbuka semasa majlis konvokesyen berlaku atau semasa menerima jemputan rasmi universiti sahaja. Natijahnya, masyarakat semakin menjauhkan diri mereka. Namun kini, banyak universiti di Malaysia giat dalam memaksimumkan keupayaan fungsi fasiliti mereka.

Misalnya, terdapat sebilangan masjid university yang kini menjadi masjid rasmi di sesuatu kawasan. Selain itu, fasiliti perpustakaan juga dilihat mampu menjadi ejen menggerakkan kempen merakyatkan universiti ini dengan memberi peluang kepada masyarakat secara berkala untuk menikmati kemudahan perpustakaan universiti seperti rujukan dan pinjaman buku, carian jurnal artikel, ruang tempat belajar yang selesa, serta menjadikan perpustakaan sebagai pusat setempat dalam memberi maklumat kepada komuniti. Perkongsian fasiliti seperti ini dapat meraih perhatian dan sokongan masyarakat, sekali gus menjadi pemangkin kepada hubungan baik antara universiti dan masyarakat. Tambahan pula pelbagai projek khidmat masyarakat perlu dirancang dan dilaksanakan untuk memastikan keberadaan, kefungsian serta sumbangan universiti kepada masyarakat dapat dicapai.

Usaha dan kempen untuk merakyatkan universiti merupakan satu aspirasi dalam mendokong peranan universiti sebagai tempat memberi manfaat kepada masyarakat untuk kemaslahatan bersama. Pelaksanaan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti keterbukaan akses pendidikan kepada masyarakat dapat dijadikan sebagai sumber rujukan dalam misi memasyarakatkan universiti. Ini menyaksikan tiada dasar pengecualian kepada mana-mana kanak-kanak yang berhak untuk mendapat pendidikan seperti golongan OKU, kanak-kanak tiada dokumen, golongan B40 serta kanak-kanak orang asli. Penubuhan SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) pula merupakan rencah bagi usaha ini di mana sistem pendidikan negara diintegrasikan berdasarkan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti dengan teras kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati.

Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) khususnya, Kolej Genius Insan (KGI) adalah salah satu platform yang dibina untuk memasyarakatkan universiti. Ia merupakan kesinambungan dan perluasan dalam memartabatkan serta menjamin anak-anak Malaysia yang mempunyai bakat luar biasa dan daya intelek yang tinggi agar tidak tercicir dalam arus perdana. Program ini merupakan strategi menjana cendekiawan Islam dari bakat anak-anak kecil pintar seawal usia lapan tahun di seluruh Malaysia. Manfaat dari program seperti ini dicanai dengan harapan supaya USIM dapat melahirkan modal insan yang holistik dan mampu menjadi ejen perubahan kehidupan sosial dalam masyarakat seterusnya memaknai kewujudan universiti.

Kesimpulannya, jika universiti dapat dirakyatkan, maka kesejahteraan sejagat dan kebersamaan melalui sinergi peranan universiti dan masyarakat yang saling melengkapi dapat diimplementasikan. Justeru, ia sinonim dengan istilah asal universiti dalam bahasa Latin iaitu ‘universitas magistrorum et scholarium’ bermaksud komuniti pendidik dan sarjana seharusnya memberi impak yang besar ke arah pembangunan masyarakat yang berilmu, bertamadun dan sejahtera.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz, Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast