Kakitangan Prasarana sibuk memantau pergerakan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di pusat kawalan menjelang MRT tersebut akan mula beroperasi pada 16 Jun ini di Depot MRT Sungai Buloh, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa 1 sudah bersedia sepenuhnya untuk memulakan operasi esok.

Bermula dari stesen Kwasa Damansara ke Kampung Batu, pengangkutan awam berkenaan bakal memberi manfaat kepada kira-kira 15,000 penumpang sehala.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Mohd Ramli Shafie, sebanyak 14 tren akan beroperasi bagi setiap waktu untuk laluan ini, yang mana setiap satunya mampu memuatkan 1,200 penumpang.

Mohd Ramli Shafie

Ujarnya, semua tren kini sudah bersiap sedia untuk memulakan operasinya, begitu juga dengan tenaga kerja yang telah dilatih sejak tahun lalu untuk memastikan kelancaran MRT setiap hari.

“Pasukan kami terdiri daripada 600 orang telah dilatih sejak tahun lepas dan sekarang telah bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal untuk mengoperasikan laluan Putrajaya Fasa 1,” katanya ketika ditemui semasa tinjauan persediaan pengoperasian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu di Depot MRT Sungai Buloh.

Laluan Putrajaya Fasa 1 ini bakal mempunyai 12 buah stesen bermula dari Kawasa Damansara hingga ke Kampung Batu sepanjang 17.5 kilometer.

Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2022.

Mohd Ramli menyeru orang awam menggunakan MRT laluan ini kerana ia boleh menjimatkan masa perjalanan dengan melalui kawasan-kawasan yang sering berlaku kesesakan lalu lintas.

Tambah beliau, orang awam dalam masa yang sama disediakan kemudahan bas perantara untuk ke setiap stesen selain tempat meletakkan kereta.

“Saya menyeru orang ramai untuk menggunakan MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 kerana laluan ini akan melalui kawasan Kepong yang terkenal dengan kesesakan lalu lintas.

“Orang ramai digalakkan menggunakan bas perantara untuk datang ke stesen-stesen dan stesen sediakan juga tempat letak kereta untuk menggunakan perkhidmatan kami,” ujarnya.

Nor Azmi Mohd Yusod

Sementara itu, Ketua Kejuruteraan MRT Laluan PUtrajaya, Nor Azmi Mohd Yusof berkata, jurutera yang terlibat menjalankan pemeriksaan dan penyelenggaran terhadap setiap tren pada setiap hari sehingga 16 Jun nanti bagi memastikan kelancaran operasi.

MRT Laluan Putrajaya Fasa 1 akan mula beroperasi 16 Jun ini dan perasmiaannya dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada jam 3 petang.

Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kampung Batu Laluan Putrajaya Fasa Satu telah sedia untuk digunakan menjelang MRT tersebut mula beroperasi pada 16 Jun ini di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 JUN 2022.

Sembilan stesen baharu yang akan dibuka untuk laluan ini ialah Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima dan Kampung Batu.

Manakala tiga stesen yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada MRT Laluan Kajang akan menjadi Laluan Putrajaya, iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat dan Sungai Buloh.- MalaysiaGazette