Palang masuk ke tandas awam di Terminal Sentral Kuantan (TSK), Kuantan, Pahang dengan caj 50 sen sekali masuk

KUANTAN – Kewujudan palang masuk ke kawasan tandas awam di Terminal Sentral Kuantan (TSK), di sini menimbulkan rungutan orang ramai yang ingin menggunakan kemudahan terbabit terutama ketika dalam keadaan terdesak.

Orang ramai yang ditemui berkata, meskipun kadar bayaran sebanyak 50 sen untuk menggunakan kemudahan itu tidak menyusahkan, namun pelaksanaan palang berkenaan perlu dikaji semula.

Seorang pengunjung TSK yang ditemui MalaysiaGazette di sini, Karmo Mustapa, 53, berkata, kewujudan palang itu menyukarkannya apabila dia membawa bagasi yang besar.

“Kalau macam saya ni yang bawak beg besar macam ni, susah nak masuk ikut pagar ni. Kadang-kadang pagar tak terbuka. Sebab barang berharga kalau kita tinggal di luar ni, takut ada orang ambil, susah la sikit,” katanya.

Karmo Mustapa

Dia membuat perjalanan seorang diri dari ibu negara ke Rompin sempat mengemukakan cadangan supaya pihak pengurusan TSK mempertimbang melaksanakan bayaran masuk tandas itu secara manual seperti sebelum ini.

“Kalau cara yang biasa kan senang boleh tolak masuk je beg. Buat biasa sahajalah. Kalau ada petugas yang jaga untuk pembayaran pun tiada masalah,” tambah Karmo sambil menolak bagasinya.

Dalam pada itu, seorang bekas pemandu bas, Mohammad bin Taib, 73, turut berkongsi pandangan sama.

Katanya, palang yang ditempatkan sebagai akses masuk ke tandas awam tersebut kadang-kadang tidak terbuka walaupun duit syiling 50 sen telah dimasukkan.

Bagaimanapun, Mohammad sudah tidak  lagi menggunakan kemudahan awam terbabit kerana kotor.

Mohammad Bin Taib, 73 ketika ditemui MalaysiaGazette di Terminal Sentral Kuantan hari ini

“Sebab tidak bersih. Sekarang tiada orang jaga, tak macam dulu-dulu. Dulu ada orang jaga di luar, dia membersihkan tandas,” jelas Mohammad.

Bagaimanapun, melalui tinjauan MalaysiaGazette hari ini, keadaan tandas awam terbabit dalam keadaan bersih dan selesa digunakan orang awam dan pengunjung.

Pengguna yang tiada wang siling semasa mahu menggunakan tandas tersebut tidak perlu bimbang kerana  semua kaunter bas di TSK yang beroperasi hingga tengah malam itu menyediakan perkhidmatan menukar duit syiling.

Walaupun tertera jumlah caj 50 sen di skrin palang masuk ke tandas terbabit, MalaysiaGazette diberitahu, pengguna juga boleh memasukkan duit syiling 10 sen dan 20 sen dengan jumlah 50 sen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast