TMJ berkongsi perbualan bersama Pan Gon di laman Instastory.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon sentiasa mengemas kini maklumat terbaharu skuad Harimau Malaya kepada beliau.

Perkongsian itu dimaklumkan sendiri oleh Tunku Ismail menerusi laman Instastory peribadi beliau, hari ini.

Menerusi hantaran itu, ‘perkenalan’ Pan Gon dan Tunku Ismail tercetus selepas pengendali dari Korea Selatan itu memperkenalkan dirinya kepada TMJ sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan JDT menjulang Piala Sumbangsih.

“Apa yang Tunku lakukan untuk bola sepak Malaysia adalah sangat menakjubkan. Ia sudah melangkaui peringkat Asia dan saya sangat menghormati Tunku.

“Saya akan sentiasa memberikan perkembangan terkini mengenai pasukan kebangsaan dari semasa ke semasa. Dengan sokongan Tunku, saya akan terus bekerja keras demi kejayaan Malaysia.

TMJ berkongsi perbualan bersama Pan Gon di laman Instastory.

“Saya memohon sokongan daripada Tunku,” kata Pan Gon dalam perbualan menerusi Whatsapp yang dikongsi Tunku Ismail.

Malah, Pan Gon turut memberi laporan mengenai perancangan pasukan kebangsaan bagi mengharungi beberapa aksi persahabatan serta tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 sebelum ini.

Selain itu, terdapat juga perbualan dipercayai selepas keputusan Tunku Ismail untuk berundur daripada urusan harian skuad Harimau Selatan dan menyerahkannya kepada pengurusan tertinggi pasukan. – MalaysiaGazette