Sebahagian calon SPM SMK Bukit Jambul yang memperoleh keputusan cemerlang merakamkan gambar kenangan di sekolah tersebut hari ini.

GEORGE TOWN – Seramai 666 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Pulau Pinang memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Perancangan dan Pengurusan PPD, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, daripada jumlah itu, 17 calon telah memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

Katanya, sebilangan besar calon yang memperoleh keputusan cemerlang itu terdiri daripada kumpulan calon yang menduduki sembilan, 10 dan 11 mata pelajaran.

Wan Sajiri.

“Selain itu, seramai lima calon istimewa di negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang.

“Gred Purata Negeri (GPN) yang dicatatkan bagi SPM 2021 adalah 4.77.

“Seramai 20,048 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 di negeri dan daripada jumlah itu seramai 15, 520 (86.03 peratus) calon layak menerima sijil,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul di sini, hari ini.

Wan Sajiri berkata, sebanyak 22 buah sekolah di negeri yang mencapai prestasi 100% iaitu semua calon layak mendapat sijil.

Antara sekolah tersebut adalah SMK Bukit Jambul, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Al- Mashoor, SMKA Lelaki Al- Mashoor, Penang Free School serta SMK Perempuan Methodist.

“Selain itu, SMK Bukit Jambul turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai sekolah terbaik bagi Pulau Pinang dalam keputusan SPM 2021 dengan gred purata 1.83,” jelas beliau.

Peperiksaan SPM 2021 bermula 8 Februari hingga 29 Mac lalu melibatkan 165 pusat peperiksaan iaitu 150 pusat peperiksaan sekolah, 15 pusat peperiksaan hospital di seluruh negeri ini bagi sesi pertama dan melibatkan 17 pusat peperiksaan bagi sesi kedua pada 5 April hingga 19 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan