Hamdan Wahid

KUANTAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersedia untuk terus menghulurkan bantuan kepada keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada bila-bila masa.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga Allahyarham selain menyifatkan keputusan menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas adalah hak mereka.

“Itu hak mereka, kita sentiasa doakan keluarga ini diberikan kekuatan dan kesabaran untuk mereka teruskan kehidupan. Kalau ada keperluan dan bantuan diperlukan dari segi logistik serta kebajikan lain, kita akan berikan.

“Kami sentiasa jaga kebajikan pesara serta keluarga anggota yang pernah berkhidmat menerusi unit kebajikan dan agama jabatan,” katanya kepada Bernama ketika mengulas keputusan keluarga Muhammad Adib menarik balik rayuan berhubung prosiding komital terhadap Thomas.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Pengarah JBPM di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang, Gambang di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Pada kejohanan itu, JBPM Pahang mengungguli kategori berpasukan manakala JBPM Terengganu memenangi kategori antara regu dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 serta RM1,000.

Semalam, media melaporkan bahawa Tetuan Mohd Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga Muhammad Adib dalam satu kenyataan memaklumkan arahan menarik balik rayuan itu kerana tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu, susulan arahan agar rayuan bapa Muhammad Adib iaitu Mohd Kassim Abdul Hamid ditarik balik, pihak peguam telah memfailkan notis pada 31 Mei lepas diikuti pengesahan oleh Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik permohonan kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Justeru, pihak keluarga arwah Muhammad Adib menganggap proses dan prosiding menghina mahkamah terhadap Thomas dan Jabatan Peguam Negara selesai serta tamat selain berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah memulakan kehidupan baharu.

Pada 29 November 2021, keluarga Muhammad Adib menerima pampasan berjumlah RM1.5 juta daripada kerajaan.

Pampasan itu adalah sebagai bantuan prihatin daripada kerajaan atas musibah yang menimpa ahli keluarga anggota bomba itu yang cedera parah dipukul dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November 2018 sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018. – Bernama