PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat post mortem terhadap 24,941 calon yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pihaknya perlu mengenal pasti punca perkara tersebut berikutan calon SPM kali ini adalah kohort pertama melibatkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan berdepan dengan pandemik Covid-19.
“Mereka ini adalah calon yang terkesan pandemik Covid-19 apabila berada di tingkatan empat dan tingkatan lima ketika tempoh mencabar dan getir.
“Kita akan menganalisis data secara keseluruhan melibatkan punca, trend yang berlaku dan negeri mana yang paling ramai.
“Ini kerana ada antara mereka yang memilih untuk tidak meneruskan pengajian mereka kerana faktor peribadi, hal keluarga dan menceburkan diri dalam ekonomi gig dan sebahagian besar daripada mereka ini adalah calon persendirian.
“Menerusi beberapa siri lawatan saya pagi ini, kita juga mendapati ada guru dan pengetua sudah ke rumah pelajar untuk bertemu sendiri dengan ibu bapa serta pelajar untuk memujuk mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 18 (1), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seramai 24,941 calon SPM 2021 tidak menduduki peperiksaan itu. Seramai 407,097 calon berdaftar di 3,382 pusat peperiksaan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid berkata, peperiksaan SPM 2021 dilaksanakan dalam dua sesi berikutan pandemik Covid-19 dan ia merupakan kohort pertama yang mengikuti KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah).
Ujarnya, calon peperiksaan tersebut melalui pengalaman pembelajaran yang mencabar dalam norma baharu sepanjang mereka berada di Tingkatan 4 dan 5 akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette