Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas)

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) bersedia membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap import jagung bijian yang merupakan antara bahan mentah utama dalam penghasilan makanan ternakan.

Menurut kenyataan Nafas, penglibatan pertubuhan berkenaan akan dilaksanakan melalui pemerkasaan rangkaian Pertubuhan Peladang bermula di peringkat induk dan seterusnya struktur pergerakan Pertubuhan Peladang (PP) tiga peringkat terdiri daripada 14 PP di peringkat negeri, 279 PP di peringkat kawasan dan hampir 1 juta ahli peladang di seluruh negara.

Jelasnya, usaha tersebut dalam masa yang sama berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan yang terlibat, sekali gus meningkatkan hasil pendapatan bagi penduduk setempat.

“Ketika ini, Malaysia mengimport hampir 100 peratus jagung bijian atau kira-kira dua juta tan setahun dari negara seperti Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS),” kata Nafas.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan Nafas telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu untuk digunakan semula bagi tanaman jagung bijian.

Beliau turut memaklumkan bahawa Nafas mensasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran ayam dengan pengeluaran 144 juta ekor setahun. – MalaysiaGazette