KUALA LUMPUR – Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia merekodkan aliran masuk bersih RM48.1 bilion pada tahun 2021 berbanding RM13.3 bilion pada tahun sebelumnya, manakala, pelaburan di luar negeri (DDI) mencatatkan RM19.7 bilion (2020: RM10.2 bilion).

Prestasi ini adalah tertinggi sejak tahun 2016.

Sehingga akhir tahun 2021, FDI terkumpul di Malaysia mencatatkan nilai yang lebih tinggi sebanyak RM788.8 bilion.

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, aktiviti ekonomi mulai pulih secara perlahan-lahan selepas terkesan daripada pandemik Covid-19.

Sektor pembuatan mengembang sebanyak RM22.5 bilion untuk merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM29.5 bilion yang menyumbang kepada aliran masuk terbesar dalam FDI.

Manakala sektor pembuatan menarik 61.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan, terutamanya dalam subsektor Elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan, sementara itu, perkhidmatan merupakan penyumbang kedua tertinggi terutamanya dalam aktiviti kewangan, diikuti oleh sektor perlombongan yang menerima dalam bentuk ekuiti & dana pelaburan saham.

”Rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia bagi tahun 2021 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM22.5 bilion, kebanyakannya diterima dari Singapura, Jepun dan Korea yang berjumlah RM17.0 bilion. Rantau Asia juga turut menjadi sumber utama kedudukan FDI dengan nilai sebanyak RM413.1 bilion, diikuti oleh Eropah pada RM207.7 bilion dan Amerika pada RM153.0 bilion pada akhir tahun 2021,” katanya.

Pada akhir tahun 2021, kedudukan FDI telah meningkat sebanyak RM103.9 bilionuntuk mencatatkan nilai RM788.8 bilion. Sektor Perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 49.2 peratus atau RM388.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan
borong runcit.

Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi sebanyak 42.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

“Seperti mana prestasi FDI, aliran DIA meningkat sebanyak RM9.5 bilion untuk merekodkan RM19.7 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pembuatan memintas perkhidmatan sebagai sektor
utama bagi DIA, menyumbang 40.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan terutamanya dalam subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan.

Sementara itu, sektor perkhidmatan menyumbang 30.3 peratus teutamanya dalam aktiviti kewangan.

Eropah kekal sebagai rantau utama bagi aliran DIA pada tahun 2021 dengan sumbagan sebanyak 54.9 peratus terutamanya ke Belanda dan United Kingdom.

Secara keseluruhannya, pelaburan ini kebanyakannya disalurkan ke Belanda, Kanada dan Indonesia, kata Mohd Uzir.

Aliran DIA terutamanya adalah dalam bentuk ekuti & dana pelaburan saham dengan sumbangan sebanyak 61.7 peratus disumbangkan oleh keuntungan yang dikekalkan di luar negeri walaupun mengalami aliran keluar yang lebih rendah dalam ekuiti.

Pada masa sama, instrumen hutang merekodkan aliran keluar bersih yang lebih tinggi hasil daripada aktiviti dalam kredit perdagangan,

Pada akhir tahun 2021, kedudukan DIA berada pada RM547.0 bilion daripada RM515.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan Singapura, Indonesia dan United Kingdom kekal sebagai tiga destinasi utama bagi para pelabur. – MalaysiaGazette