Penggunaan gajet dalam kanak-kanak perlu dikawal. Gambar hiasan

ADAKAH novelis terkenal dunia, Leo Tolstoy salah, kerana beliau telah mengatakan bahawa semua keluarga bahagia adalah sama, dan sekurang-kurangnya berkongsi ciri asas tertentu? Kebanyakan pakar mengakui kesahihan kata-kata ini, kerana ia telah terbukti sebagai hasil kajian dan penyelidikan bahawa keluarga bahagia mempunyai ciri-ciri tertentu. Sebahagian daripada mereka percaya bahawa kebahagiaan keluarga dicapai melalui kekayaan dan kedudukan.

Sementara yang lain pula mendapatinya dengan menjalani kehidupan moden dan bergaya. Tidak terkecuali, ada yang mengehadkannya hanya kepada satu faktor,
seperti kepuasan. Namun adakah kebahagiaan keluarga terhenti pada faktor dan kualiti ‘meterial’ sahaja? Hakikatnya, kebahagiaan dan kesejahteraan institusi keluarga merupakan elemen terpenting dalam pembangunan sesebuah negara.

Kajian mendapati Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) Malaysia 2019 menunjukkan kesejahteraan keluarga di Malaysia adalah masih pada tahap yang sederhana iaitu pada skor 7.72, namun ia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.39 mata berbanding 7.33 bagi IKK 2016 Kajian tersebut juga menunjukkan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia semakin meningkat pada setiap tahun sejak tahun 2013 dengan catatan tertinggi sebanyak 5537 kes pada tahun 2017.

Manakala kes penderaan melibatkan fizikal pada tahun 2018 berjumlah 1,703 manakala 1,571 kes pada 2019 dan tahun 2020 sebanyak 1,1,20 kes direkodkan sehingga September. Penderaan seksual pada 2018 mencatatkan jumlah 1,705, pada tahun 2019 berjumlah 1,865 dan hingga September 2020 sebanyak 1,373. Bagi kes penderaan emosi pula, pada tahun 2018 kes dicatat ialah 124 kes, tahun 2019 (113) dan sehingga September 2020 (131) manakala kes pengabaian pada tahun 2018 berjumlah 2,046 kes, 2019 (2,521) dan 2020 sehingga September (1,251) kes.

Manakala sebanyak 3,875 kes penderaan, penganiayaan dan pengabaian ke atas kanak-
kanak direkodkan di negara ini sehingga September tahun 2020. Jumlah itu menunjukkan
trend menurun berbanding tahun 2019 berjumlah 6,061 sementara jumlah kes pada tahun 2018 sebanyak 5,578 kes. Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) merupakan satu penanda aras pelbagai dimensi yang dibangunkan khas untuk mengukur tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia dan telah diperkenalkan pada 2011.

Unit paling penting

Sebagaimana memetik kata-kata Ketua Pasukan Petugas Masyarakat Progresif IKRAM, Hj
Ainullotfi Abdul Latif, dalam slot ‘Peranan Keluarga Utuh dalam Keharmonian dan
Pembangunan Negara’ pada Konvensyen Nasional Keluarga Utuh anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) pada 6 November 2021 lalu, berkata, institusi keluarga
merupakan unit paling asas dan terpenting dalam pembinaan sesebuah masyarakat dan
negara.

“Keluarga yang utuh ialah keluarga yang berdiri di atas pegangan yang mantap (landasan
akidah dan iman), ubudiah (penghambaan) kepada Yang Maha Agung, dan berbuat
kebajikan. Ketua keluarga dan setiap anggotanya berfungsi dengan baik, iaitu mampu
mengendali isu-isu pembangunan fizikal, mental, ekonomi, sosial, dan kerohanian keluarga”.   Menurutnya, keluarga utuh ialah keluarga yang bersistem, bersifat anjal (flexible) dan akomodatif dalam menghadapi cabaran dan konflik keluarga serta mampu menghadapi ideologi dan pemikiran yang boleh meruntuhkan kerukunan keluarga.

Justeru dalam keluarga utuh menurutnya, ketua keluarga terutamanya golongan lelaki lebih bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawabnya dan tidak mengabaikannya, mesti mampu mengendali isu-isu, permasalahan keluarga serta mengetahui ilmu psikologi dan ilmu sosial yang kontemporari. Maka, tidak terkecuali, pendidikan anak-anak, keseimbangan dalam keluarga, komunikasi keluarga, peranan dan tanggungjawab ibu bapa serta akidah juga akhlak merupakan antara elemen penting yang perlu digarapkan bagi memastikan sesebuah keluarga selamat dan sejahtera.

Doktrinasi yang merosakkan

Sebagai ibu bapa, sedarkah kita dengan kemasukkan anasir-anasir jahat yang merosakkan anak-anak dan persekitaran yang semakin berleluasa kini? Sebagaimana Filem animasi Lightyear keluaran Pixar dan Disney iaitu spin-off daripada filem Toy Story yang menjadi kegemaran ramai kanak-kanak seluruh dunia. Namun, sadisnya, unsur homoseksualiti telah diterapkan di dalam filem tersebut melalui watak wanita Hawthorne yang mempunyai hubungan bermakna dengan wanita lain, yang mana hubungan mereka digambarkan melalui ciuman sesama jantina.

Media melaporkan, dalam satu mesyuarat dalaman yang mana video perbincangan telah
dibocorkan, Pengarah Eksekutif Animasi Latoya Raveneau berkata, pasukannya tidak lagi
berahsia dalam mengimplementasikan agenda gay dan secara berkala menambah
Querness (sebahagian dari LGBTQ) dalam rancangan kanak-kanak. Manakala, Presiden bagi kandungan hiburan Disney (Disney’s General Entertainment Content) Karey Burke berkata, Disney memastikan kandungan filem mereka banyak mengandungi karakter LGBTQIA (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Queer, Interseks dan Allies).

Realitinya, Malaysia tidak menerima LGBTQA sebagai suatu gaya hidup kerana kita
berpegang kepada Islam sebagai Agama Persekutuan, Rukunegara dan Perlembagaan
Persekutuan. Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari masa ke masa. Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah serius dan perbuatan tidak bermoral dalam masyarakat.

Maka, adalah wajar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia, khususnya Kerajaan Keluarga Malaysia, mengharamkan tayangan filem Lightyear di Malaysia sebagai pernyataan rasmi dan tegas terhadap ideologi yang disebar melalui kartun dan animasi. Selain itu, KDN dan LPF juga seharusnya peka terhadap sebarang produk Disney di masa-masa hadapan kerana polisi mereka yang telah berubah dan mampu merosakkan generasi, anak bangsa.

Justeru, kita sebagai rakyat dan masyarakat Malaysia perlu menyedari serta peka akan nilai-nilai kekeluargaan yang tidak boleh dikompromi dengan ideologi mahupun anasir-anasir LGBTQA yang dipaksakan ke atas anak-anak kita melalui kartun dan animasi. Peranan masyarakat perlulah dilibatkan bagi memelihara dan memulihara persekitaran yang baik kepada anak-anak agar tidak terjebak dengan aktiviti songsang tersebut.

Kawal teknologi

Realitinya, aplikasi teknologi mudah diperoleh sekarang dan ia sangat membimbangkan kepada manusia. Apalagi penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer riba tidak dapat dielakkan dalam penggunaan sehari-harian. Perubahan dalam cara berkomunikasi menggunakan mesej teks (Whatsapp dan Wechat), media sosial (Facebook, Instagram) dan aplikasi permainan dalam talian menjadi kegilaan orang dewasa juga kanak-kanak. Peranti berteknologi tinggi ini mempunyai banyak kebaikan, namun masih memberi kesan buruk apabila digunakan secara berlebihan tidak kira kepada siapa pun, apalagi kanak-kanak.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa 93% menggunakan peranti lebih daripada 2 jam sehari manakala 69% menggunakan lebih daripada 8 jam sehari. Jika dahulu orang
dewasa mempunyai akses kepada gajet, tetapi kini 75% kanak-kanak mempunyai
sambungan internet dan 40% lagi mempunyai gajet sendiri. Sikap sebahagian ibu bapa yang mudah memberikan anak-anak gajet bagi mengawal tingkah laku anak-anak mereka, amatlah merisaukan.

Malah anak-anak yang masih belum belajar memegang botol susu telah didedahkan dengan alat ini. Walaupun, Ibu bapa percaya bahawa gajet seperti telefon pintar (smart phone) boleh membantu perkembangan anak-anak mereka tetapi pada hakikatnya penggunaan yang tidak terkawal dan melebihi had, akan menyumbang kepada kesan negatif terhadap penglihatan dan perkembangan anak-anak. Hakikatnya, kita sebagai ibu bapa perlu mengawal semula teknologi gajet dan belajar cara menggunakannya dengan cara yang sihat dan positif agar tidak meninggalkan kesan yang buruk dan berpanjangan.

Menjaga kesejahteraan keluarga

Dapatan kajian mendedahkan sembilan daripada sepuluh lelaki Amerika yang sudah
berkahwin berasa lebih gembira apabila mereka berkongsi tanggungjawab dengan isteri
untuk menjaga keluarga. Tinjauan yang dijalankan oleh Manofthouse.com menunjukkan
bahawa 73% lelaki berasa puas apabila mereka menjaga anak mereka, 68% mengatakan
mereka merasakan perkara yang sama apabila disokong dari segi kewangan, dan 63%
mengatakan mereka berasa gembira kerana hubungan yang kuat dengan ahli keluarganya
Presiden kumpulan Man of the House, Craig J. Heimbush berkata, beliau menyedari, betapa seorang bapa mengambil berat tentang anak-anaknya dan keluarganya. Namun, semakin bergantung kepada kemudahan teknologi untuk mendapatkan maklumat berguna yang membantunya melakukan banyak tugasan setiap hari.

Sedarkah kita, anak-kanak memerlukan galakan, perhatian dan empati untuk berkembang dengan betul daripada segi emosi dan mental? Sesetengah ibu bapa mencipta persekitaran yang teratur dan kreatif untuk anak-anak mereka, menggunakan pelbagai permainan dan alatan teknikal untuk memberikan pendedahan yang baik. Tetapi yang paling penting kandungan persekitaran kanak-kanak adalah suasana gembira, dan interaksi positif antara ibu bapa dengan anak-anak mereka.

Ibu bapa yang sentiasa memberikan perhatian, bercakap bersama mereka dengan cara
yang mesra, berkomunikasi secara fizikal dengan cara yang betul, dan menyatakan kasih
sayang mereka secara berterusan, mampu menjadikan anak-anak lebih bersikap rasional
lagi positif. Perkembangan kanak-kanak wajar dipertingkatkan secara optimum sekiranya ibu bapa cukup fleksibel, dan mengambil kira umur kanak-kanak, psikologi, keutamaan, peringkat perkembangan, dan gaya pendidikan. Perlu diperhatikan tentang jumlah jam yang dihabiskan anak-anak di hadapan TV dan permainan elektronik (gajet) hingga mereka punya masa untuk bermain permainan interaktif.

Barangkali, pendekatan yang kontekstualisasi dalam sistem yang lebih luas merupakan tip
yang berguna untuk menerangkan tentang kesejahteraan. Sebagaimana, perspektif ekologi Brofenbrenner, berpendapat bahawa pembangunan manusia sebahagian besarnya dibentuk oleh sistem persekitaran yang saling berkaitan yang merangkumi orang yang paling rapat iaitu keluarga, rakan sebaya, sekolah. Manakala yang lebih besar lagi iaitu, kejiranan, komuniti dan budaya masyarakat.

Tentunya, keluarga yang sejahtera akan melahirkan modal insan dan generasi masa depan negara yang berkualiti. Untuk memastikan kestabilan sosial terpelihara, ia perlulah bermula dengan membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien daripada sebarang anasir perosak kesjahteraan anak-anak.

Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa usahakan masa berkualiti bersama keluarga beberapa kali seminggu agar kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga itu mampu dijaga serta dipelihara. Keluarga bahagia akan saling mengasihi, aman, selamat dan dapat
membina masyarakat yang sejahtera. Keluarga inilah juga yang akan melahirkan
masyarakat yang akan mencermin, mewarnai dan mencorak masyarakat itu menjadi
masyarakat yang sejahtera dan utuh.

Dr Sabariah Baharun
Ketua Kluster Perpaduan Nasional Agenda Nasional, Pertubuhan Ikram Malaysia