Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin menerima memorandum daripada Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah pada Himpunan Mempertahankan Kebebasan Mahkamah anjuran Badan Peguam di Padang Merbok, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Peguam-peguam yang menyertai himpunan bagi menuntut kebebasan terhadap badan kehakiman bersurai selepas lebih tiga jam berkumpul di Padang Merbok, di sini.

Kesemua mereka beransur-ansur meninggalkan kawasan itu selepas memorandum yang hendak diserahkan kepada Perdana Menteri diterima Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau tiba kira-kira pukul 11.15 pagi dengan dikawal pasukan keselamatan.

Mas Ermieyati kemudiannya memberikan ucapan ringkas di atas pentas kecil yang disediakan oleh pengajur perhimpunan dengan memberitahu akan menyerahkan memorandum tersebut kepada Perdana Menteri dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk diteliti.

“Saya akan serahkan kepada Yang Berhormat Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Wan Junaidi dan juga Perdana Menteri memorandum yang saya terima pada hari ini.

“Semoga badan kehakiman di negara kita akan terus ditegakkan,” katanya yang kemudian disambut dengan sorakan bebas kehakiman oleh peserta yang hadir.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Karen Cheah Lee Lynn ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, tujuan mereka berkumpul adalah sebagai tanda mahu agar badan kehakiman di negara ini dipelihara.

Beliau mendakwa, terdapat salah laku dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang perlu diperbetulkan kerana telah memberi impak besar terhadap badan kehakiman yang sepatutnya dihormati.

“Kami berhimpun dengan niat untuk menyeru kepada kerajaan supaya badan kehakiman kami perlu diperkukuhkan dan dimartabatkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa berkata, himpunan yang diadakan merupakan satu bantahan tegas terhadap SPRM yang telah mengumumkan siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau mendakwa, tindakan yang dibuat oleh SPRM adalah satu perkara yang salah dan merupakan satu ugutan terhadap kebebasan kehakiman.

“Inilah pendirian Majlis Peguam (mahu badan kehakiman dihormati) dan saya dokong pendirian itu. Kalau SPRM nak buat apa-apa macam kecurigaan atau apa-apa, ada cara untuk membangkitkan isu.

“Isu itu perlu dibangkitkan secara sulit dengan Ketua Hakim dulu. Mereka kena tahu bawa kehakiman ini adalah berbeza dengan insitusi lain, tidak boleh disamakan,” ujarnya.

Terdahulu, kesemua kira-kira 500 peguam yang hadir di Padang Merbok telah berkumpul sejak pukul 9 pagi.

Pihak Polis dan anggota Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melakukan beberapa sekatan di kawasan sekitar bermula pukul 7 pagi hingga menyebabkan berlaku kesesakan di tengah-tengah ibu negara.

Antara yang menyertai protes itu ialah bekas peguam negara Tommy Thomas, bekas presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan dan beberapa ahli Parlimen pembangkang.

Pasukan Unit Simpanan Khas (FRU) turut dikerahkan bagi mengawal keadaan selepas berlaku kelam kabut susulan polis tidak membenarkan peserta himpunan berarak ke Parlimen.

Keadaan kembali reda selepas Mas Ermieyati tiba untuk menerima memorandum dan selang beberapa minit kemudian peserta himpunan beransur meninggalkan Padang Merbok. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Geng lawyer yang kaki penipu dan salahguna kuasa saja yang takut kalau hakim2 yg salah disiasat kerana mereka tak boleh menang kes kalau hakim tak sokong mereka.
    Ingat semua Hakim tu maksum tak boleh sentuh ke?

Comments are closed.