Pandangan dari Udara – USP 1, di Gambang, Pahang.

GAMBANG – Stesen janakuasa solar berskala besar (LSSPV) milik UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) telah kembali beroperasi setelah tujuh bulan dihentikan disebabkan kerosakan pada pengubah kuasa dan alat suis penebat gasnya pada November 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) UHSB, Muhammad Mubarak Ishak berkata, dengan pembaikan pengubah kuasa (transformer) tersebut, USP I telah kembali beroperasi pada 10 Jun 2022 dan mula mengeksport hasil tenaga kepada grid Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 12 Jun 2022.

Kerja-kerja membaik pulih yang melibatkan pemasangan dan pentauliahan pengubah kuasa 90MVA yang baharu telah dijalankan oleh Kumpulan Pengurusan Aset, UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd.

Berdasarkan insiden di atas, pada Januari 2022 MARC Ratings Berhad telah meletakkan penarafannya kepada tahap AA-IS pada RM202.3 juta Sukuk Hijau SRI tertunggak USP pada MARCWatch Negatif.

”Oleh kerana kerja-kerja membaikpulih telah dilaksanakan pada tahap yang memuaskan, USP I akan kembali beroperasi dan membolehkan kami mengekalkan penarafan AA bagi memenuhi komitment sukuk RM192.3 juta bagi USP I dan juga komitment–komitmen kewangan lain syarikat,” kata Mubarak.

UHSB merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan adalah satu-satunya universiti di dalam negara yang mengendalikan dua buah Stesen LSSPV yang berupaya menjana tenaga hijau berkapasiti sehingga 50MWac di sini.

UiTM kini tergolong bersama universiti-universiti terkemuka dunia seperti University of California, Stanford University dan University of Queensland yang juga memiliki dan mengendalikan stesen-stesen janakuasa solar berskala besar.

Kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan pengubah kuasa baharu (90 MVA) dijalankan di stesen jana kuasa solar di Gambang, Pahang.

USP I mempunyai kapasiti penjanaan 61MWp dan telah berjaya mencapai operasi komersial pada 5 April 2019.

Stesen janakuasa LSSPV kedua milik UiTM Holdings dikenali sebagai UiTM Solar Park II (USP II) dengan kapasiti penjanaan 31MWp, oleh anak syarikat 100% UHSB, UiTM Solar Power Dua Sdn Bhd (USPDSB), telah berjaya memulakan operasi komersial pada 2 Disember 2020.

USP I dan USP II kedua-duanya telah dianugerahkan kontrak janakuasa tenaga hijau jangka masa panjang oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA atau kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) melalui Suruhanjaya Tenaga melalui proses pembidaan kompetitif LSS.

Kedua-dua stesen janakuasa, USP I dan USP II, telah dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh UHSB, USPSB dan USPDSB.

Anak-anak syarikat ini adalah sebahagian daripada Bahagian Tenaga UHSB yang terlibat dalam sektor Tenaga Boleh Diperbaharui, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau. – MalaysiaGazette