Acropolis adalah bangunan yang paling terkenal Greece purba, adalah barisan komprehensif bangunan awam, agama dan politik tanah pusat.

PERBINCANGAN  tentang kebanyakan bidang keilmuan seringkali merujuk kepada pandangan lestari tokoh-tokoh dari bumi Yunani. Hatta, dalam perbincangan ilmu-ilmu berkaitan Islam seperti siasah akan tetap mempertimbangkan pandangan susuk-susuk seperti Plato dan Socrates dalam pendefinisian sesuatu istilah.

Fenomena sebegini mengundang kita untuk meninjau tanah asal lahirnya pandangan-
pandangan individu yang berakar umbi dalam bidang ilmu dan pemikiran ini. Sesuai dengan jolokan nama kota purba, Yunani atau Greece memiliki kesinambungan
sejarah dengan peradaban Islam lebih dari 5,000 tahun.

Ketika menjalankan kajian penyelidikan tajaan Erasmus dengan sekumpulan rakan
penyelidik dari pelbagai negara Euro-Asia, saya berpeluang melawat kota Athens, bandar
yang telah menyaksikan kelahiran tokoh-tokoh pemikir yang tidak asing lagi, bagi pengkaji mahupun pembaca sejarah dunia. Bandar tepi laut ini memang memiliki kecantikan semula jadi yang unik dengan lautnya yang berwarna biru kehijauan dan pasir berbatu-batu bersih yang mendamaikan.

Bandar arkeologi Kristian ortodoks

Akal yang biasa tidak mampu membayangkan bagaimana penduduk Athens lebih 2,500
tahun yang lalu, mampu membina bukan sahaja sebuah kota, malah berbilang-bilang binaan yang gagah di bukit-bukit sekitarnya. Hingga kini ia menjadi tempat untuk ditapaki para pelancong, apatah lagi para pencinta sejarah.

Achropolis dan Phartenon adalah dua mercu tanda kota Athens, menjadikan kota itu seperti sebuah bandar arkeologi yang unik dan menjadi tumpuan masyarakat dunia tanpa mengira bangsa, apalagi agama. Berbanding bandar-bandar sekular seperti Baku di Azerbaijan, Athens masih jelas terzahir pengamalan agama Kristian Ortodoksnya dengan binaan gereja yang mempunyai seni binanya yang tersendiri.

Berbalik kepada lipatan sejarah keilmuan, kota ini telah menjadi saksi kepada kelahiran dan perkembangan ilmu-ilmu yang penting seperti falsafah, astronomi, matematik dan
kedoktoran. Nama-nama tokoh tersebut dikenali hingga ke hari ini seperti Thales, Pythagoras, Demokritos, Archimedes, Socrates dan Plato.

Manusia memerlukan tuhan

Meneroka ke alam metafizik pula, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kewujudan dewa-dewa agungan Yunani adalah bukti bahawa manusia mempunyai sifat semula jadi untuk bertuhan dan menjadi hamba. Masyarakat Yunani Kuno memiliki kisah mitologi lengkap dengan pelbagai tuhan semimanusia yang dikenali dengan nama-nama Zeus (dewa langit dan bumi), Apollo (dewa kesenian), Poseidon (dewa laut), Hades (dewa kematian), Aphrodite (dewi kecantikan dan cinta), Hermes (dewa perdagangan) dan Athena (dewi kebijaksanaan).

Mereka menggambarkan para dewa seperti manusia, tapi memiliki kekuatan dan keindahan yang lebih daripada manusia biasa. Para dewa dipercayai tinggal di puncak tertinggi Gunung Olimpus. Untuk menghormati dan menyenangkan mereka, bangsa Yunani Kuno mengadakan pesta olahraga di kaki Gunung Olimpus. Tradisi inilah yang sampai sekarang masih dipertahankan dan diacarakan sebagai Sukan Olimpik.

Sekitar abad keempat SM, di Yunani, telah lahir beberapa tokoh pemikir yang masyhur
seperti Thales (640 SM), ahli falsafah pertama yang lahir di Miletus, kemudian disusuli
dengan Anaximader, Anaximenes dan Heraclitos yang hidup sekitar tahun 500 SM.
Perkembangan pemikiran Yunani telah mencapai puncaknya pada sekitar tahun 500 hingga 300 SM, iaitu sejak munculnya Socrates yang lahir di Athens pada tahun 470 SM dan meninggal pada usia 71 tahun, pada tahun 399 SM.

Selepas itu, Plato mengambil alih fokus sejarah selama hampir seratus tahun, yang mana
beliau juga merupakan salah seorang murid Socrates. Tanpa memperincikan buah-buah fikiran mereka, tanggapan awal yang boleh diberikan ialah, paparan sejarah ini telah membuktikan bahawa masyarakat Yunani pada waktu itu sangat bersungguh-sungguh dalam berfikir dan memberikan perhatian yang besar kepada ilmu pengetahuan.

Yunani pernah dikuasai Islam

Setelah ibu negara Yunani jatuh ke tangan Turki pada tahun 1453, bangsa Yunani berada di bawah kekuasaan Uthmaniyah hampir selama 400 tahun. Selama masa ini bahasa mereka, agama mereka dan rasa identiti diri tetap kuat, yang menghasilkan banyak revolusi untuk kemerdekaan meskipun gagal.

Menapak di bandar ini di bawah terik mentari musim panas yang menggigit, terlintas di fikiran saya, kemungkinan tamadun yang gagah itu dengan tokoh falsafahnya hanya akan mati di situ sahaja tanpa sumbangan para ilmuwan Islam yang telah bertungkus lumus menterjemahkan karya dan idea-idea falsafah Yunani ke dalam bahasa Arab lalu tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Jika kita telusuri sejarah keilmuan Islam pula, perpindahan ilmu yang dilakukan oleh
ilmuwan Islam bukanlah usaha yang calang-calang. Beberapa faktor dilihat menyumbang
kepada kesuburan perpindahan ilmu melalui penterjemahan ini.

Pertama, ajaran Islam sendiri yang menggalakkan kepada usaha berfikir, menalar (menilai
baik buruk), menggunakan akal dan meneroka ilmu pengetahuan. Islam memandang tinggi kepada ilmu dan memuji orang-orang yang berilmu berbanding orang yang jahil.
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا قِيْلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوْا فِى الْمَجٰلِسِ فَافْسَحُوْا يَفْسَحِ اللّٰهُ لَكُمْۚ وَاِذَا قِيْلَ انْشُزُوْا فَانْشُزُوْا يَرْفَعِ اللّٰهُ الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا مِنْكُمْۙ وَالَّذِيْنَ اُوْتُوا الْعِلْمَ دَرَجٰتٍۗ وَاللّٰهُ بِمَا تَعْمَلُوْنَ خَبِيْرٌ

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu “Berilah kelapangan dalam majlis-majlis,” lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu.
Apabila dikatakan, “Berdirilah,” (kamu) berdirilah, nescaya Allah akan mengangkat orang-
orang yang beriman daripada kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa
darjat. Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadilah ayat 11)

Benarlah, para ilmuwan Islam telah menghayati dan mempraktikkan apa yang telah
dirakamkan dalam ayat di atas. Mereka bukan sahaja menterjemahkan ilmu, malah telah memperkembangkan dan menyusurgalurkan dengan wahyu dan perbincangan ilmiah dalam wacana dan penulisan.

Kemahuan politik itu penting 

Merancakkan lagi suasana tersebut, kemahuan politik dan galakan daripada pemerintah
yang wujud ketika itu telah membuka lagi ruang serta peluang yang luas kepada proses
penterjemahan tersebut. Semasa pemerintahan Abbasiyah, setelah pusat pemerintahan dipindah dari Damsyik ke Baghdad, kegiatan penterjemahan dilakukan secara besar-besaran dan dijalankan secara serius.

Khalifah al-Makmun telah memperkasakan usaha penterjemahan berikutan perdebatan
yang berlaku mengenai soal-soal agama antara kaum Muslimin di satu pihak dengan kaum Yahudi dan Nasrani di pihak lain. Untuk menghadapi perdebatan tersebut, mereka merujuk kepada falsafah Yunani agar dalil-dalil dan hujah disusun dengan sebaik-baiknya demi mengimbangi pihak lawan yang menggunakan akal dan logik semata-mata.

Kecintaan khalifah terhadap ilmu pengetahuan terzahir daripada penyediaan sarana dan
prasarana bagi pengembangan ilmu pengetahuan. Khalifah Harun al-Rasyid telah membangunkan sebuah institusi yang dinamakan Bait al-Hikmah sebagai pusat perkembangan ilmu.

Ilmuwan Islam yang berjasa

Wajar dinyatakan di sini tokoh-tokoh yang telah berjasa menterjemahkan ilmu-ilmu dari
Yunani seperti  Ibnu al-Muqaffa’, lahir di Parsi pada tahun 724 M, wafat di Basrah tahun 759 M. Hunain Ibnu Ishaq (809/810-876), seorang ahli bahasa Yunani dan Arab. Ishaq bin Hunain, wafat tahun 910/911 M, seorang doktor, penterjemah falsafah Yunani.
Selain itu, nama-nama seperti Yohana Ibn Bitrik; Abdul Masih Ibn Abdullah Naiman al-Hismi (835 M); Qasta Ibn Luqa al-Balabaki (835 M); Abu Mist Matta Ibnu Yunus al-Qaunani (w.940 M); Abu Zakaria Yahya Ibn Adi al-Mantiqi (w. 974 M); Abu al-Khair al-Hasan Ibn al-Khammas (1942 M) juga turut melatari sejarah penterjemahan ilmu Yunani ke dunia luar.

Sehingga kini, setelah pulang ke tanah air, saya masih terfikir, mungkinkah kehebatan ilmu dan falsafah yang lahir di kota Athens akan mati di situ sahaja tanpa intervensi terjemahan dan pengembangan daripada ilmuwan Islam? Persoalan yang lebih utama ialah, mampukah kita mempertahankan sejarah keilmuan dengan turut membaca dan mewacanakannya? Paling kurang, generasi mendatang perlu tahu dan bangga bahawa ilmuwan Islam pernah megah di persada ilmu dunia.

Dr Hamidah Mat
Pensyarah Kanan, Fakulti  Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM)
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast