Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim hadir pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Sky Awani III, Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Bagi memenuhi keperluan kediaman di Wilayah Persekutuan, kerajaan telah meluluskan pembinaan 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu melibatkan 104 projek di Wilayah Persekutuan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 97 buah projek adalah di Kuala Lumpur, tiga projek di Putrajaya dan empat projek di Labuan,” katanya dalam ucapan sidang perasmian penyerahan kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Sky Awani 3 di ibu negara, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Projek yang dibina oleh syarikat SkyWorld itu menawarkan sejumlah 1,905 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM300,000 seunit.

Jelas Ismail Sabri, kerajaan sentiasa memastikan kediaman yang ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga serta praktikal, selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

Bagi membantu golongan warga kota berpendapatan rendah, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperkenal program baharu iaitu rumah untuk disewa sebagai transit yang dikenali sebagai Council Home.

Council Home disasarkan pembinaan sebanyak 5,000 unit dalam tempoh lima tahun di antara tahun ini hingga 2027.

“Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri,” katanya.

“Sehingga bulan April tahun ini, sebanyak 10 tapak telah dikenal pasti untuk pembinaan Council Home di Wilayah Persekutuan dan projek yang siap sepenuhnya adalah di Sungai Udang, Segambut berjumlah 1,251 unit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette