chicken prices
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengimportan pertama stok ayam bulat sebanyak satu kontena dengan volum 21 tan metrik akan sampai hari ini.

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berkata, ayam-ayam bulat yang diimport itu telah mendapat pengesahan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Pengimportan ini merupakan lanjutan daripada isu kekurangan bekalan ayam negara dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui Nafas dan Gabungan Pertubuhan Peladang Negeri telah diberi peranan utama untuk melaksanakan program stok penimbal ayam bagi tujuan menstabilkan keperluan bekalan ayam negara.

Program ini dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama dari pihak FAMA dan Gabungan Pertubuhan- Pertubuhan Negeri terutama dalam penggunaan kemudahan bilik sejuk.

Kemasukan bekalan ayam seterusnya akan dibawa masuk ke dalam negara pada Isnin ini iaitu sebanyak tiga kontena yang akan ditempatkan di bilik sejuk beku Nafas di Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Sementara itu pengedaran ayam pula adalah melalui jaringan rangkaian Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurutnya, LPP akan memantau perlaksanaan penjadualan pengimportan oleh Nafas

Tiga buah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) pula iaitu PPN Selangor, PPN Johor dan PPN Perak dikenalpasti bagi membantu Nafas menjayakan program ini.

Manakala beberapa PPN lain akan turut sama dilibatkan mengikut keperluan semasa, tambah Nafas. – MalaysiaGazette