Tenku Zafrul Tengku Abdul Aziz beramah mesra bersama Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos pada majlis perasmian Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, Rawang. Foto, MUHD NA'IM, 18 JUN 2022.

RAWANG – Golongan muda akan menjadi tumpuan khusus dalam Bajet 2023 bagi memastikan kumpulan itu terus berdaya saing daripada segi ekonomi dan pendapatan.

Menurut Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, satu peruntukan khas akan diberikan kepada kumpulan itu dalam pembentangan bajet pada Oktober nanti.

Dalam ucapannya ketika merasmikan pasar raya Big Boss di sini hari ini, Tengku Zafrul menegaskan,  anak muda memerlukan bantuan berbentuk kewangan dan modal bagi memulakan perniaga.

Menteri Kewangan, Tenku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) memotong riben seperna majlis perasmian Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, Rawang. Foto, MUHD NA’IM, 18 JUN 2022.

Justeru, pihaknya telah berbincang dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas jumlah peruntukan yangn diperlukan oleh kumpulan terbabit.

“Saya percaya anak muda ini amat penting bagi negara kita. Big Boss ada menyatakan kerajaan harus memberi bantuan peruntukan kepada golongan muda yang ingin memulakan perniagaan.

“Jadi dalam bajet yang sedang kita rangka sekarang, saya sebenarnya sedang berbincang dengan kementerian dan agensi berkaitan.

“Kita hendak memberikan peruntukan khusus kepada golongan muda. Dari segi modal, pinjaman supaya golongan muda dapat berniaga dan berusaha,” katanya ketika berucap merasmikan Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, Rawang.

Tengku Zafrul menekankan lebih banyak program dan kursus perlu disediakan kepada kumpulan itu kerana bukan mudah untuk seseorang mengendalikan perniagaan tanpa ilmu dan pengetahuan.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dan kira-kira 500 ahli NGO 18 atau G18.

Menteri Kewangan, Tenku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersama Pengerusi NGO 18 (G18), Muhammad Amin Daniel Jamal pada majlis perasmian Program Usahawan Big Boss di Big Boss Mart, Rawang. Foto, MUHD NA’IM, 18 JUN 2022.

Sementara itu Pengerusi G18 Muhammad Amin Daniel Jamal berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak memberangsangkan menyebabkan golongan muda sangat memerlukan peruntukan khas berbentuk modal bagi membolehkan mereka memulakan perniagaan.

“Ramai anak muda yang menganggur dan mereka memerlukan bantuan bagi memulakan perniagaan. G18 sendiri antaranya memberikan bantuan modal kepada ahli yang mahu memulakan perniagaan burger,” jelas beliau.

Pertubuhan bukan kerajaan itu mempunyai kira-kira 7,000 orang ahli berusia 15 tahun hingga 25 tahun di seluruh negara.

G18 terlibat aktif dalam memberikan kesedaran politik dan ekonomi kepada anak muda di seluruh negara.-MalaysiaGazette