Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melawat tapak pameran dan mendengar taklimat daripada pasukan robotik SK Kempadang sempena Majlis Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Maran

MARAN – Kerajaan Negeri Pahang menyumbang RM12,000 kepada pasukan robotik  Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang, Kuantan yang disenarai pendek antara 10 calon teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan kerajaan negeri bagi menaja perbelanjaan dua buah robotik yang dibangunkan oleh pasukan sekolah itu bernilai RM6,000 setiap satu.

“Kerajaan negeri sedia membantu SK Kempadang dalam usaha mereka memantapkan lagi inovasi yang telah dilaksanakan.

“Bagi memantapkan pasukan robotik sekolah ini, kerajaan negeri sudi memberi peruntukan untuk dua buah robot,” katanya ketika membuat lawatan pameran di Maran sejurus Majlis Sambutan Hari Guru 2022 peringkat Negeri Pahang pada Jumaat.

Tambah Wan Rosdy, pihaknya membuat pertemuan dengan pihak sekolah terbabit bagi mengenal pasti bantuan yang diperlukan

Menurutnya, kejayaan sekolah terbabit sudah tentu membanggakan kerajaan negeri kerana mengharumkan nama Pahang di persada antarabangsa.

Terdahulu SK Kempadang dan SMK Kampung Jawa, Klang, Selangor, adalah antara dua Sekolah Amanah Malaysia yang disenarai pendek untuk Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diumumkan T4 Education pada minggu lalu.

Wan Rosdy berkata, anugerah tersebut dilancarkan oleh sebuah organisasi peringkat global, T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai bernilai AS$250,000.

Tiga finalis terbaik akan dipilih untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat.

Pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada Minggu Pendidikan Dunia yang diadakan pada 16 hingga 21 Oktober depan dan akan menerima AS$50,000.

Menteri Besar berkata, SK Kempadang telah mendapat penajaan daripada Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang bermula tahun 2015 hingga 2021.

“Ianya bagi menjalankan program Sekolah Amanah yang merupakan pendekatan baharu dalam bidang pendidikan untuk memperkasakan sekolah dengan memberi autoriti untuk mengurus dan membuat keputusan bagi meningkatkan prestasi pelajar,” katanya.

Untuk rekod Yayasan Pahang  juga memperuntukkan RM91.4 juta untuk tabung pendidikan bagi manfaat 255,951 pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang. – MalaysiaGazette