MACC Malaysian Anti-Corruption Commission 1MDB funds recovery assets
Seorang wanita akan direman sprm esok kerana disyaki menerima habuan bulanan.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama-penama yang dikatakan telah menerima wang seperti disebut oleh saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Dalam kenyataannya malam ini, SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.

Dalam perbicaraan kes itu, baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.

Selain Muhyiddin, lima nama ahli politik disebut ketika perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama ‘TSM’ dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala ‘Team Pagoh’ adalah nama projek.

David juga mengesahkan Khairy menerima dana politik RM3.7 juta daripada UKSB, manakala Reezal Merican menerima dana antara RM200,000 hingga RM300,000 secara sekali daripada syarikat. – MalaysiaGazette