Zuraida Kamaruddin minister PM
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Pemilik kebun kelapa sawit disaran supaya membuat pelaburan bagi mendapatkan alat teknologi automasi agar dapat digunakan di ladang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, penggunaan alatan automasi dalam sektor perladangan merupakan jalan penyelesaian jangka masa panjang bagi masalah kebergantungan terhadap pekerja asing.

Malah, langkah ini akan menjadikan industri sawit negara lebih berdaya tahan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) juga percaya pembabitan lebih besar dalam automasi boleh membantu meletakkan minyak sawit sebagai minyak masak pilihan utama di peringkat global, sejajar dengan Kempen “Minyak Sawit Malaysia Penuh Kebaikan” yang sedang dijalankan,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pemilik kebun kelapa sawit menggunakan dron untuk tujuan pengawasan dan kawalan serangga perosak.

Ujar Zuraida, penggunaan teknologi automasi akan menarik minat pekerja tempatan untuk mula bekerja di sektor ladang.

Jelas beliau, semua pihak erlu menyedari bahawa antara sebab-sebab utama masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan ini berlaku adalah berpunca aripada langkah penutupan pintu sempadan antarabangsa, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun Zuraida memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pihak yang terlibat khsusunya Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Luar Negeri, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi mencari penyelesaian terhadap masalah pekerja peladang kelapa sawit dengan kadar segera.-MalaysiaGazette