Allahyarhamah Adibah Noor

KUALA LUMPUR – Allahyarhamah, Adibah Noor pernah membuat pendedahan tentang keadaan beliau yang bergelut dengan masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pendedahan dibuat Adibah yang juga pelakon itu menerusi dua video yang dimuat naik di laman Twitter miliknya sebelum ini berikutan menerima banyak mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

Menurut pemilik nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar, 52, penjelasan itu adalah untuk memberikan gambaran sebenar tentang keadaan kewangannya.

“Saya menerima banyak direct message (DM) dan private message (PM) yang memohon bantuan kewangan. Mana yang saya boleh bantu, saya memang akan bantu.

“Pekerja-pekerja seni macam saya yang berada di depan kamera dan di atas pentas, memang nampak macam mewah, sering kali muat naik video atau gambar untuk menunjukkan kami masih aktif dalam bidang seni.

“Hakikatnya masa PKP dulu, saya memang tiada pekerjaan langsung sekali gus tiada pendapatan.

“Jadi selepas PKP iaitu pada fasa pemulihan, barulah dapat tawaran kerja sedikit demi sedikit untuk berlakon, menyanyi dan sebagainya,” luah Adibah yaang memulakan karier dalam bidang seni sebagai penyanyi latar.

Namun, tambah pelantun lagu Terlalu Istimewa itu, bayaran yang diterimanya selepas PKP tidak lagi sama sebagai mana sebelum bermula pandemik Covid-19, malah jauh lebih rendah.

“Harga yang kita terima tidaklah semewah harga yang diterima sebelum pandemik Covid-19.

“Bagaimanapun, saya ambil sahaja mana-mana tawaran. Sekurang-kurangnya saya ada pendapatan sendiri,” katanya.

Adibah turut mengakui terpaksa menjual rumah dan memajak barangan kemasnya untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP lalu.

Arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleaneagles petang semalam akibat kanser ovari tahap empat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast