Pengasas Syarikat Perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy sedang memberi sokongan moral kepada seorang ibu tunggal, Kamala Muthiah yang baru di potong kaki kedua selepas pembekuan darah di Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 19 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Aktivis, Datuk Seri R Jeyendran mempersoalkan bagaimana golongan B40 dan miskin tegar yang menghadapi penyakit kronik yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dikenakan bil yang tinggi.

Beliau yang tidak berniat untuk mengkritik kerajaan merayu pihak berwajib termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) memberi perhatian terhadap isu itu.

“Semalam saya telah dibawa bertemu seorang warga emas yang juga ibu tunggal bekas pekerja Alam Flora yang menderita diabetes dan baru-baru ini kedua-dua kakinya terpaksa dipotong akibat pembekuan darah.

Anak, Sudhashini Jayaraman menunjukkan surat memo pembiayaan untuk ubat-ubatan ibunya, Kamala Muthiah yang baru di potong kaki kedua selepas pembekuan darah di Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 19 JUN 2022.

“Apabila keadaannya agak teruk, doktor di hospital kerajaan telah menasihatkan untuk kedua-dua kaki itu di potong, wanita itu juga hanya mempunyai seorang anak perempuan tanpa sebarang saudara mara lain. Mereka ini hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

“Tetapi sejurus selepas pembedahan selesai, hospital telah memberikan anak beranak ini satu memo yang mengatakan dua daripada ubat tidak akan dibekalkan memandangkan harganya mahal. Kedua-dua ubat itu amat diperlukan bagi proses pemulihan wanita dan ianya bernilai RM600,” katanya MalaysiaGazette.

Menurut Jeyendran, jika pesakit itu mampu sudah pasti dia akan membeli ubat yang tidak dibekalkan itu dan sekiranya ubat yang tersebut tidak diperolehi akan membuatkan penyakit terbabit bertambah teruk.

Tambah beliau, anak perempuannya pesakit itu terpaksa bekerja separuh masa bagi menjaga ibunya dan kes seperti ini perlu mendapat bantuan kerajaan.

Pengasas Syarikat Perkapalan Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy hadir pada melawat dan menyumbang sumbangan kepada seorang ibu tunggal, Kamala Muthiah yang baru di potong kaki kedua selepas pembekuan darah di Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 19 JUN 2022.

Jeyendran yang mengulas keadaan Kamala Muthiah, 69, verkata, wanita tersebut kehilangan kaki selepas berlakunya pembekuan darah di kedua-dua kaki minggu lepas di Hospital Putrajaya kerana menghidap diabetes kronik.

Berikutan itu Pengasas dan pemilik Maritime Networks Sdn Bhd itu berikrar untuk membantu wanita tersebut dengan menyediakan semua keperluann yang mencecah hampir RM4,000 sebulan.

Dalam pada itu, Jeyendran bimbang dengan keadaan psikologi serta sosial yang terpaksa dihadapi golongan seperti Kamala ini.

Ubat-ubatan yang diperolehi seorang ibu tunggal, Kamala Muthiah yang baru di potong kaki kedua selepas pembekuan darah di Petaling Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 19 JUN 2022.

“Saya ada bercakap dengan anak perempuannya, dia begitu tertekan hingga hendak membunuh diri sahaja kerana cuba meminta wang dari pelbagai pihak termasuklah parti politik namun semuanya tidak dapat menyelesaikan isunya.

“Anak beranak ini tinggal di PPR yang mana rumah mereka di tingkat atas, ibunya terpaksa di hantar ke rumah nursing untuk beberapa bulan namun bayaran dikenakan juga agak tinggi, dia pula bekerja separuh masa. Bayangkan bagaimana perasaannya?,” ujarnya

Dalam pada itu, Jeyendran memohon para dermawan, ahli korporat atau orang persendirian supaya menyumbang golongan yang tidak bernasib baik seperti Kamala. – MalaysiaGazette