Lee Ting Han

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri akan mengaktifkan semula Jawatankuasa Pelaburan Johor sebagai medium perkongsian informasi jabatan dan agensi kerajaan serta organisasi korporat dan swasta bagi menyelesaikan isu yang dihadapi pelabur di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, langkah itu diambil bagi merancakkan semula sektor ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Mesyuarat pertama bagi Jawatankuasa Pelaburan Johor yang dilaksana 9 Jun lalu adalah untuk merancang misi galakan pelaburan dalam dan luar negeri bagi tujuan mempromosi negeri ini sebagai destinasi pelaburan unggul di rantau ini, ujarnya.

“Jawatankuasa ini akan memainkan peranan bagi menjalankan pelbagai inisiatif untuk menarik lebih banyak pelaburan khususnya yang berimpak tinggi dan berteknologi tinggi melibatkan industri halal mahupun industri kreatif.

“Beberapa siri perjumpaan telah diadakan bersama pemain industri dalam usaha mengenalpasti permasalahan dihadapi pelabur seterusnya mengambil tindakan proaktif dan pragmatik.

“Seperti diumumkan Menteri Besar sempena majlis pecah tanah syarikat Insulet Corp pada 2 Jun lalu, kerajaan negeri akan mengaktifkan Jawatankuasa Pelaburan Johor sebagai platform komunikasi dan perkongsian informasi untuk menyelesaikan isu-isu dihadapi pelabur di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) berkaitan nilai pelaburan dan inisiatif kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan utama pelabur pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, hari ini.

Tambah Ting Han, sepanjang tahun lalu, Johor merekodkan pelaburan berjumlah RM6.594 bilion yang terdiri daripada RM3.106 bilion pelaburan domestik (DDI) manakala RM3.848 bilion pelaburan asing (FDI).

Pelaburan itu adalah hasil daripada 134 projek yang diluluskan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette