Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles MP.

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles MP mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi
Malaysia-Australia (HLC) keenam di Geelong, Australia, semalam.

Ia bagi membincangkan hala tuju serta usaha memperkukuh hubungan pertahanan Malaysia-Australia.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia dan Australia mempunyai hubungan pertahanan yang kukuh dan telah terjalin sejak sekian lama.

Menurutnya, hubungan itu telah melalui masa perang dan masa aman, dengan kepercayaan dan keyakinan bersama yang terus menjadi asas penting kepada hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Tambahnya, dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, Malaysia dan Australia bersetuju untuk membawa hubungan pertahanan daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih erat dan strategik.

Jelas beliau, kepercayaan yang telah terbina selama ini akan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih praktikal, memberikan manfaat nyata serta memperkukuh keupayaan kedua-dua negara.

“Antara yang dipersetujui ialah meningkatkan kolaborasi daripada pelaksanaan latihan kepada perancangan yang lebih bersepadu, seterusnya meningkatkan kesiapsiagaan untuk beroperasi secara bersama.

“Ini penting bagi memperkukuh kesalingoperasian, kesiapsiagaan operasi dan pembangunan keupayaan kedua-dua Angkatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi Malaysia dalam pertemuan bersama kepimpinan Australia sempena Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi
Malaysia-Australia (HLC) keenam di Geelong, Australia.

Tambah beliau, Operation Gateway juga akan terus diperkukuh melalui perkongsian maklumat dan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance (ISR), penglibatan lebih besar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam aktiviti operasi serta peningkatan kesiapsiagaan teknologi.

Selain itu, katanya, Malaysia-Australia Joint Defence Programme (MAJDP) juga akan terus diperkasakan, termasuk dalam industri dan teknologi pertahanan, pembangunan keupayaan, inovasi, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), serta daya tahan rantaian bekalan pertahanan.

Dalam masa sama, tambah beliau, kerjasama siber juga akan dipertingkatkan, termasuk dengan mengintegrasikan elemen siber dalam latihan dua hala serta menggerakkan Cyber Working Group sebagai mekanisme khusus bagi memperluas kerjasama praktikal dalam bidang tersebut.

Selain itu, tambahnya, Strategic Planning Committee (SPC) pula akan memainkan peranan penting dalam menterjemahkan perkara yang dipersetujui kepada tindakan susulan yang jelas serta memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Pada masa yang sama, kolaborasi akan diperluas kepada bidang strategik dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sistem autonomi dan tanpa pemandu, pengawasan maritim, teknologi angkasa serta inovasi pertahanan,” katanya.

Sementara itu, pada hari terakhir lawatan, Malaysia dan Australia turut memeterai Mutual Logistics Support Arrangements (MLSA), satu lagi pencapaian penting dalam hubungan pertahanan kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles MP menyaksikan pemerteraian Mutual Logistics Support Arrangements (MLSA).

Menurut Mohamed Khaled, pemeteraian itu membolehkan kedua-dua negara saling memberikan sokongan logistik dengan lebih berkesan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesiapsiagaan operasi.

“Hasil HLC kali ini mencerminkan fasa baharu hubungan pertahanan Malaysia-Australia, daripada kerjasama kepada kolaborasi yang lebih erat berasaskan kepercayaan dan kebersamaan yang telah dibina selama ini.

“Malaysia komited untuk terus memperkukuh hubungan ini agar kekal relevan, berdaya tahan dan mampu mendepani cabaran keselamatan masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, lawatan tersebut turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Yani Daud dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datin Sharrina Abdullah.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah, Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO), Leftenan Jeneral Datuk Fazal Haji Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here