Dr Norzaidi Zakaria

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya membenarkan pembelian ubat daripada pengeluar-pengeluar ubat lain selain yang dibenarkan ketika ini dalam usaha menangani kekangan bekalan ubat tertentu.

Langkah ini mungkin boleh dibuat untuk jangka sederhana sehingga bekalan ubat pulih semula.

Timbalan Presiden Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia, Dr Norzaidi Zakaria yang mencadangkan perkara itu berkata, kebenaran khas itu membolehkan premis-premis kesihatan swasta khususnya klinik-klinik kecil mendapat bekalan ubat secukupnya.

Menurut beliau, meskipun kekurangan bekalan ubat sudah dalam pengetahuan Kementerian Kesihatan Malaysia dan pelbagai cadangan jangka pendek dikemukakan namun ia masih tidak menyelesaikan masalah.

Paling ketara, kekurangan ubat dialami oleh klinik-klinik kecil.

Antara bekalan ubat yang cukup kritikal ialah copastin, ors , colchicine, ventolin syrup.

“Ada doktor-doktor yang mengendali klinik kecil tercari-cari ubat-ubat ini untuk kegunaan kepada pesakit yang mengalami batuk, dehidrasi, gout dan ubat lelah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dr Norzaidi menambah, meskipun Menteri Kesihatan memaklumkan klinik-klinik boleh cuba mendapatkan bekalan ubat dengan meminjam dalam kalangan premis kesihatan termasuk klinik-klinik kerajaan tetapi ia bukan proses mudah.

“Hendak dapatkan ubat daripada premis kesihatan lain bukan senang, bukan boleh minta secara short notice, ada proses perlu dilalui.

“Kalau bekalan ubat habis, klinik perlu dapatkan segera bukan boleh tunggu-tunggu.

“Jadi adalah lebih mudah sekiranya kerajaan memberi alternatif kepada pembekal-pembekal lain yang boleh membekalkan ubat generik,” tambahnya.

Katanya, meskipun sejak isu bekalan ubat ini didedahkan dan mendapat liputan meluas di media, namun kekurangan bekalan masih belum ada perkembangan positif.

“Difahamkan klinik-klinik yang besar mungkin sudah dapat bekalan ubat, walaupun tidak seperti dulu tetapi klinik kecil masih ada masalah.

“Kami masih menaruh harapan agar masalah ini didengari oleh para pengeluar ubat dan segera menanganinya,” tambah beliau. – MalaysiaGazette