Azman Adam. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2021.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan sebanyak 1,773 kes dengan nilai rampasan RM27.23 juta melibatkan pelbagai kesalahan penyelewengan barang kawalan dan subsidi sejak 2018 hingga Mei lepas.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pihaknya sentiasa mengambil tindakan pantas termasuk intipan dan pemeriksaan secara berkala bagi membendung penyelewengan barangan kawalan ke negara sempadan.

Katanya, hasil tindakan berterusan pihaknya dalam memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi sepanjang tempoh itu telah merekodkan sebanyak 367 kes melibatkan minyak masak, 197 kes (tepung gandum), 322 kes (petrol), 301 kes (diesel) dan 586 kes gas petroleum cecair.

“Penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan antarabangsa negara merupakan antara perkara penting yang menjadi perhatian KPDNHEP kerana kami tidak mahu subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat kita turut diguna pakai pihak lain dalam mengaut keuntungan.

“KPDNHEP juga sentiasa serius untuk membendung kegiatan penyelewengan barang kawalan subsidi kerana ia juga menjadi penyumbang utama kepada ketirisan subsidi dan gangguan bekalan barang kawalan di pasaran ketika ini,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas mengetuai operasi pemeriksaan bekalan barang keperluan harian di peringkat borong dan runcit di sebuah premis perniagaan di Taman Industri Cherok Tokun, di sini, sempena Kempen Anti Sorok Barang Kawalan.

Azman berkata, KPDNHEP ingin memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat dengan melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan atau subsidi bagi mengelakkan dikenakan tindakan yang tegas.

Sementara itu, katanya, sebanyak 13 aduan berkaitan penyorokan barang kawalan diterima oleh KPDNHEP di seluruh negara sejak awal Januari hingga semalam dan ia merupakan impak positif daripada pengguna serta peniaga susulan Kempen Anti Sorok Barang Kawalan yang dilaksanakan ketika ini.

“Bagaimanapun jumlah kes yang terhasil daripada 13 aduan itu tidak dapat ditentukan sepenuhnya kerana hasil risikan lanjut mendapati, ada kes yang berlaku di lokasi berbeza daripada aduan yang diterima.

“Oleh sebab itu, mustahak untuk saya nyatakan bahawa apabila kita (pengguna) nak aduan kita disiasat dengan cepat dan berkesan, maka kami di KPDNHEP memerlukan data yang lengkap sebagai contoh alamat serta barang yang disorok bagi membolehkan kami membuat siasatan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau juga meminta bantuan masyarakat untuk menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ kepada KPDNHEP dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan serta subsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga akar umbi. – Bernama