Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Pas teguh dengan pendirian partinya untuk menolak sebarang idea cadangan mewujudkan khemah besar dengan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Keputusan dan pendirian itu dijelaskan Naib Presidennya, Datuk Mohamad Amar Abdullah bahawa parti itu kekal dengan prinsip politiknya untuk fokus kepada agenda penyatuan ummah.

“Dalam menghadapi PRU15 ini, timbul pula cadangan khemah besar sebagai usaha konsolidasi undi rakyat kepada parti yang bersekutu. Pas menolak idea khemah besar dan kita fokus agenda penyatuan ummah.

“Prinsip Pas dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas. Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dan pada masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem serta menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan itu, Pas juga tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam.

Kata Mohd Amar, parti itu menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek kebelakangan ini.

Oleh sebab itu, tegasnya, Pas dengan segenap kemampuan yang ada telah menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Slogan ini sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini dengan kita meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

“Rakyat pasti tidak lupa sejarah hitam 22 bulan negara bawah pentadbiran PH yang telah menzahirkan realiti golongan cuba menggugat status quo negara Malaysia serta prinsip asas tunjang negara.

“Prinsip kita adalah jelas, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Pas iaitu Islam yang paling utama,” katanya.

Oleh sebab itu, kata beliau, bagi menghadapi rejim PH ketika 2018 hingga 2019 lalu, Pas telah menggerakkan usaha muafakat ummah dengan parti Melayu seperti UMNO dan NGO-NGO sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

Namun, pada masa sama, katanya, Pas menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh (Tun Dr. Mahathir Mohamad) ketika kedudukannya diganggu gugat.

“Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang Pas. – MalaysiaGazette