Mesyuarat ke-2 bagi (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor ke-15 di Iskandar Puteri, Johor.

ISKANDAR PUTERI – Datuk Onn Hafuz Ghazi berpuas hati dengan pencapaian kepimpinan yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu kerana ia telah mencapai pelbagai kejayaan walaupun tempoh pentadbirannya masih belum mencecah 100 hari.

Menteri Besar Johor itu berkata, ia merangkumi dalam pelbagai aspek sama ada penyelesaian masalah rakyat, kemasukan pelaburan dan juga pelbagai program bantuan.

Katanya, beliau sedar harapan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri amat tinggi terutama selepas Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dalam PRN lalu.

“Antara yang telah dilaksanakan termasuklah berjaya mengurangkan kesesakan orang ramai di kaunter Jabatan Imigresen, melaksanakan inisiatif ‘Johor Fast Lane’ dan pelbagai program bantuan seperti pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor.

“Sementara dalam aspek ekonomi, kerajaan negeri telah membawa kemasukan pelaburan bernilai RM1.38 bilion GDS Holding Ltd, membawa pelaburan bernilai RM876 juta dari Insulet Corporation dan pelaburan Paris Baguette Singapore bernilai RM130 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Selamat Takim (BN-Sungai Balang) berhubung pencapaian yang diraih kerajaan negeri dalam tempoh 100 hari pentadbiran pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kota Iskandar, dekat sini, hari ini.

Menurut Onn Hafiz, semua pencapaian itu berjaya dilakar biarpun tempoh genap 100 hari pertama barisan Exco adalah pada 3 Julai 2022.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan, beliau memberitahu, pihaknya telah menggariskan enam teras utama dalam memacu pembangunan Johor ke arah pemodenan holistik menjelang 2030.

“Enam teras berkenaan adalah Tadbir Urus Kerajaan; Pembangunan Ekonomi; Jaringan Keselamatan Sosial; Kemudahan Dan Keperluan Asas; Keselamatan, Kebersihan Dan Alam Sekitar dan Orang Muda Johor.

“Satu mekanisme juga akan diwujudkan bagi memastikan kesemua enam teras tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya bersesuaian dengan hala tuju pembangunan Johor yang fleksibel dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa.

“Di bawah kepimpinan saya, ahli-ahli Exco juga sedang dan akan terus merangka polisi terbaik untuk rakyat Johor selain turut mempengerusi dan mewujudkan makmal-makmal bagi setiap perkara dengan fokus berkepentingan rakyat,” ujarnya. -MalaysiaGazette