Wee Ka Siong (kiri) dan Onn Hafiz Ghazi (kanan)  menyempurnakan majlis pelepasan tren Shuttle Tebrau, di Stesen JB Sentral, Johor.

JOHOR BAHRU – Perkhidmatan tren Shuttle Tebrau daripada Stesen Johor Bahru (JB) Sentral ke Stesen Woodlands, Singapura mula beroperasi hari ini, setelah dua tahun dihentikan berikutan pandemik Covid-19.

Pembukaannya mendapat sambutan baik berikutan hampir 70,000 tiket telah terjual untuk tempoh sebulan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka siong berkata, pengoperasian semula Shuttle Tebrau setelah ia ditutup pada 24 March 2020 dapat mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

“Untuk peringkat awal seminggu pertama ini kita hanya mensasarkan 240 penumpang (satu perjalanan) kerana perlu menyelaraskan (beberapa perkara seperti) MySejahtera dan ciri-ciri lain yang perlu dibuat penyelarasan.

“Kita sasarkan 7,000 orang penumpang (sehari) dapat menggunakan perkhidmatan ini apabila ia telah beroperasi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelepasan Tren Shuttle Tebrau, di Stesen JB Sentral, pagi tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Sementara itu Onn Hafiz menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan dan KTMB serta semua pihak yang terlibat dalam pengoperasian semula Shuttle Tebrau.

“Melihat pengoperasian kembali tren ini merupakan satu detik sejarah setelah ia ditutup dua tahun, rakyat tertunggu-tunggu.

“Ia dapat membantu negeri untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, tiket jualan untuk satu bulan sahaja cecah 70,000 jadi (kita lihat) permintaan memang tinggi,” katanya.

Sebanyak 31 perkhidmatan tren yang beroperasi setiap hari membabitkan 18 perkhidmatan dari JB Sentral ke Woodlands, manakala 13 lagi perkhidmatan dari Woodlands ke JB Sentral, dengan kekerapan 30 minit pada waktu puncak.

Perkhidmatan daripada Stesen JB Sentral bermula pada pukul 5 pagi dan berakhir pada 10.45 malam, mankala Stesen Woodlands bermula 8.30 pagi dan tren terakhir pada 11.45 malam dengan tambang RM5 sehala dari JB Sentral dan SGD 5.00 dari Woodlands. – MalaysiaGazette