Sebuah rumah yang dinaiki air dalam kejadian banjir di Segamat, Johor

ISKANDAR PUTERI – Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Fasa 1 yang dilaksanakan berjaya mengurangkan 52 peratus penduduk terjejas banjir di Segamat, Johor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya, K. Raven Kumar berkata, sebelum RTB dilaksanakan, jumlah penduduk terjejas seramai 21,158 orang dan berkurangan kepada 11,040 orang selepas ia dilaksanakan.

“Saya percaya dengan penyediaan pelan jangka panjang melalui projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Segamat Fasa 2 dengan Kos keseluruhan adalah RM650 juta.

“Kerajaan negeri Johor komited dalam mengurangkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat ini,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan (Adun Kemelah), N. Saraswati pada  Sidang Dewan Undangan Negeri Johor, hari ini.

Segamat merupakan daerah pertama di Johor dilanda banjir pada 1 Januari lalu dan semua pusat pemindahan sementara ditutup sepenuhnya dua minggu kemudian. – MalaysiaGazette