Deputy Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon leaves Istana Negara after having an audience with Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 29 JUNE 2021
Datuk Mohd Rashid Hasnon

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Rashid Hasnon menyifatkan serangan berita palsu bahawa beliau dan Datuk Seri Mohd Azmin Ali meninggalkan parti sebagai satu cubaan pihak tertentu untuk memberikan tekanan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah, Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, pihak terbabit sudah ketandusan isu hingga menjadikan perkara tersebut sebagai senjata untuk melemahkan Bersatu.

“Adalah mustahil propaganda murahan tersebar beberapa hari yang lalu, kononnya saya dan YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah meninggalkan Bersatu.

“Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu. Hanya beberapa jam sebelum tersebar berita palsu isu saya bersama YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di satu program dan sidang media di Johor.

“Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas respon dan keyakinan YB Tan Sri Presiden berkaitan isu ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Rashid yang merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, sejak hari pertama bersama parti Bersatu beliau cukup yakin dengan masa depan parti itu.

Ujarnya, beliau akan terus bersama dengan saf kepimpinan Bersatu dalam menyatupadukan rakyat dan membina kekuatan serta merealisasikan matlamat menjadikan negara ini sebuah negara yang bersih, telus, berintegriti, mempunyai tadbir urus yang baik, memperjuangkan keadilan sosial dan sentiasa prihatin kepada kemaslahatan rakyat untuk mendapat ‘Mardhatillah.

Jelasnya, walaupun Bersatu merupakan sebuah parti politik yang masih muda, namun, dengan komitmen berterusan beliau percaya agenda penyatuan rakyat, Melayu dan Bumiputera bakal membawa manfaat besar dalam usaha membawa perubahan kepada negara dan rakyat keseluruhannnya.

Tambah beliau, rakyat kini semakin matang dalam menilai dan mereka jijik dengan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.

Katanya, seiring dengan agenda parti, Bersatu akan menjadi platform terbaik kepada rakyat dan akan terus bersama aspirasi perubahan ke arah yang lebih baik, demi menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang mengumpulkan kebaikan alam dan kebaikan perilaku penduduknya serta sentiasa mendapat pengampunan Allah S.W.T.

Semalam, Mohd Rashid menafikan dakwaan kononnya beliau akan melompat parti.

Tegasnya, beliau akan tetap akan istiqamah dalam perjuangan bersama Bersatu.

Untuk rekod, Rashid merupakan anggota PKR sebelum beliau menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette