Gambar hiasan

Saudara pengarang,

Semasa berteduh di sebuah kedai mamak,sempat memesan secawan teh tarik yang agak manis sambil menyaksikan titisan hujan lebat yang membasahi bumi berserta riang tawa para pelanggan yang memecahkan kesunyian. Terlintas juga raut wajah para peniaga yang bertapak di tepi jalan dengan wajah yang penuh kesabaran dengan ujian dan dugaan yang sedang dilalui sambil menunggu pelanggan.

Tatkala menunggu hujan berhenti, sempat memerhati pelanggan yang mempunyai pelbagai ragam sambil menikmati hidangan yang dipesan. Kelihatan sekumpulan anak muda yang duduk dihadapan sedang asyik bermain permainan di telefon sambil bergelak ketawa dan memaki hamun. Di sebelahnya pula kelihatan sekumpulan individu yang berpakaian kemas sedang membicarakan soal isu semasa dengan paparan wajah yang agak serius.

Kadang kala terdetik difikiran dengan penuh persoalan yang perlu dicari jawapan tentang generasi pada hari ini. Adakah generasi pada hari ini cukup cakna tentang apa yang sedang berlaku disekeliling kita?

Keriangan dan kegembiraan yang dilakarkan oleh mereka seolah-olah tidak mempunyai sebarang masalah dalam kehidupan. Mungkin mereka masih terlampau muda untuk berfikir tentang masalah yang sedang melanda negara sekarang tetapi lebih baik sekiranya mereka diberikan kesedaran dari awal supaya mereka lebih bersedia untuk kehidupan yang akan datang kelak.

Tidak dinafikan bahawa hidup sebagai anak muda perlu dipenuhi dengan kegemberiaan dan keriangan untuk membentuk sebuah kenangan manis yang menjadi santapan memori kelak. Barang kali anak muda pada hari ini terlupa untuk berbicara dan memikirkan nasib mereka pada masa depan sekiranya tidak ada sesiapa yang menyedarkan mereka.

Mereka terlupa untuk membicara tentang masalah kos sara hidup,masalah kekurangan bekalan makanan,peluang pekerjaan yang terhad,penyusutan nilai matang wang,harga barang keperluan yang meningkat,masalah korupsi pemimpin dan intergriti perkhidmatan awam. Menjadi seorang pelupa bukanlah satu kesalahan yang berat. Seorang pemimpin utama dari Jerman yang terlibat dengan perang dunia kedua pernah berkata manusia ini mempunyai pemikiran yang sangat terbatas dan mereka sering kali terlupa.

Jadi, menjadi satu tanggungjawab kita bersama untuk menyedarkan mereka yang terlupa. Jika kita tidak memberi kesedaran awal kepada anak muda, implikasinya akan memakan diri mereka sendiri dan generasi yang akan datang.

Penulis sendiri pernah berhadapan dengan situasi sebegini apabila sedang hangat membicarakan tentang masalah yang melanda negara kepada rakan-rakan, terlihat riak kwajah yang mereka yang kelihatan tidak berminat untuk mendengar. Bagi mereka isu-isu sebegini hanya topik yang dibicarakan oleh “orang tua”. Hati cukup tersentak bila terdengar jawapan yang diberikan walaupun jawapan yang dikeluarkan sudah dijangka.

Menjadi seorang anak muda harus mempunyai kekuatan dari segi mental, emosi dan fizikal. Jangan sesekali memandang rendah kemampuan anak muda kerana anak muda merupakan satu nilai aset yang sangat penting bagi sesebuah negara.

Kehebatan dan keunggulan anak muda telah dibuktikan sendiri dalam lipatan sejarah dunia bagaimana Sultan Muhammad Al Fateh yang berusia 21 tahun dari Empayar Turki Uthmaniyyah berjaya menawan Kota Konstantinopel daripada Empayar Byzantine pada tahun 1453M. Walaupun peristiwa ini dicatatkan sekian lamanya berlaku tetapi kehebatan beliau dalam memimpin masih meniti disetiap bibir sehingga hari ini.

Penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun membawa kita untuk menjalankan tanggungjawab yang lebih besar kepada mereka dengan memberikan kesedaran dari awal dan memberikan didikan yang sempurna tentang sistem pemerintahan negara.

Seramai 3.8 juta pengundi yang berusia 18 tahun akan terlibat dalam proses demokrasi negara pada PRU15 kelak dan keterlibatan mereka ini akan menentukan masa depan negara yang akan dinatijahkan dalam kotak undi.

Muhammad Azha Salahudin
Aktivis NGO