chicken ceiling price subsidy
Gambar hiasan

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia berharap dapat mencapai persetujuan dengan Singapura untuk mula mengeksport ayam dalam masa beberapa minggu ketika jirannya sedang bergelut mencari sumber bekalan alternatif selepas Malaysia menyekat eksport.

Malaysia melaksanakan larangan eksport ayam ekoran kekurangan bekalan.

Langkah itu memberi impak besar di Singapura apabila restoran dan gerai menaikkan harga hidangan nasi ayam.

Seorang pegawai kanan di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Susiwijono Moegiarso berkata, pihak berkuasa telah menjalankan “perbincangan teknikal” dengan Singapura dan berharap eksport boleh bermula bulan ini.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam satu kenyataan berkata ia “bekerja rapat” dengan pihak berkuasa Indonesia berhubung pentauliahan negara itu sebagai sumber potensi import ayam.

Indonesia, negara terbesar dan paling ramai penduduk di Asia Tenggara dengan lebih daripada 270 juta orang, kini mempunyai lebihan dalam pengeluaran ayam.

Indonesia menghasilkan 55 juta hingga 60 juta ekor setiap minggu, dengan lebihan sekitar 15% hingga 20% selepas penggunaan domestik, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam, Achmad Dawami.

Eksport ke Singapura, yang mempunyai anggaran permintaan 3.6 juta hingga 4 juta ayam sebulan, boleh membantu merapatkan jurang, kata Dawami.

Singapura mahu mengimport ayam hidup untuk memastikan pusat penyembelihan domestiknya beroperasi, kata Dawami b sambil menyatakan pengeluar Indonesia lebih suka mengeksport ayam sembelih kerana tidak mempunyai pengalaman dalam penghantaran ayam hidup. – Reuters