– Minister of Plantation Industries and Commodities, Datuk Zuraida Kamaruddin PBM resigns Bersatu
Datuk Zuraida Kamaruddin.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Rakyat mahu pun parti politik tidak seharusnya mengungkit-ungkit isu perletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ini kerana jika ada mana-mana individu di antara mereka yang layak, sudah tentu Perdana Menteri akan melantik mereka.

Bukankah itu hak Perdana Menteri seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Segambut, Mahathir Mohd Rais.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Segambut, Mahathir Mohd Rais.

Menurutnya, sesetengah negara,  menteri dilantik bukan dalam kalangan orang politik tetapi golongan profesional yang difikirkan dapat membantu dalam urusan pentadbiran negara.

Oleh itu, orang politik atau ahli Parlimen tidak harus berebut-rebut untuk menjadi menteri tetapi menjalankan tugas sebagai penggubal undang-undang dan mengawasi pentadbiran agar berjalan dengan betul dan demi kepentingan negara.

”Pertelagahan, sama ada sesama sendiri, antara kumpulan yang bertentangan dalam sebuah gabungan politik atau antara parti-parti politik Melayu dan Islam, seboleh-bolehnya dielakkan.

”Apa yang dapat dilihat sekarang adalah pembabitan orang dalam politik kerana tujuan-tujuan tertentu seperti untuk mendapat jawatan, pangkat dan kedudukan, kontrak dan peluang perniagaan,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jalan penyelesaian yang boleh membawa kepada perpaduan bangsa, agama dan negara perlu dicari bukan mencari helah untuk terjun ke dalam kancah kehancuran.

Baginya, apa yang dibangkitkan oleh sebahagian orang politik berkenaan isu perletakan jawatan Zuraida hanya menonjolkan kejanggalan pemikiran yang melihat sesuatu itu dalam pentafsiran sempit.

”Pemimpin parti politik Melayu Islam mesti ikhlas dan bersedia untuk bersatu dan elak perpecahan kerana hanya itu sajalah yang dapat menjamin kelangsungan hidup dan kekuatan bangsa dan agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette