Pemandu lori berlagak samseng dan merosakkan kereta pengguna di atas jalan kerana tak puas hati memandu perlahan sedang diburu polis di Klang.Ihsan IPD Klang Selatan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori yang memandu secara berbahaya dan merosakkan sebuah kenderaan pada pagi Sabtu lalu diburu polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima satu aduan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengatakan pada jamĀ 9.45 pagi, sewaktu memandu kereta melalui Jalan Raya Barat berhampiran Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan secara tiba-tiba sebuah lori dari arah belakang memotong garisan kembar dan memberhentikan kenderaan tersebut di hadapan keretanya.

“Pemandu lori tersebut turun dari lori dan menghampiri kereta pengadu serta memarahi pengadu dan menendang fender hadapan kereta pengadu dan terus beredar sebelum pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil siasatan mendapati bahawa pada hari yang sama sebelum kejadian itu sekitar jam 9.30 pagi, pengadu selesai rawatan anaknya di Klinik Kesihatan Sungai Bertek, Klang dan dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki kereta jenis Toyota Vios warna merah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Ahad lalu, rakaman berdurasi 55 saat yang tular memamarkan pemandu lori itu dilihat berang kerana pengadu memandu kenderaannya secara perlahan dan tindakannya memotong secara berbahaya ditegur pemandu kereta terbabit.

Tambah beliau, semakan polis juga mendapati kejadian tersebut telah dirakam menerusi kamera papan pemuka kereta mangsa.

Menurut Hoong Fong, berikutan insiden itu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan atas kesalahan memandu secara gopoh atau cuai di jalan awam hingga membahayakan nyawa.

“Selain itu, siasatan turut dijalankan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat,” ujarnya.

Beliau berkata, polis kini mempergiatkan usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette