Anggota polis maut selepas merempuh lori rosak di lebuh raya dalam kejadian hari ini.- Gambar Ihsan JSPT Selangor

GOMBAK – Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah lori rosak di tepi jalan di Kilometer 445.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Rawang di sini hari ini.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku lebih kurang pukul 6 petang itu, mangsa, Sarjan Dino Subono, 46, yang bertugas di Cawangan Khas (E1) Bukit Aman telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gombak,  Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang dalam perjalanan dari Cheras menghala ke Rawang mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kecemasan.

“Ketika pemandu mahu turun dari kenderaan selepas menghubungi mekanik untuk meletakkan tanda segi tiga, tiba-tiba datang motosikal ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang lori,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah Zainal Mohamed, akibat rempuhan kuat itu, mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan  di tempat kemalangan itu.

Dalam pada itu, katanya, pemandu lori rosak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette