Isteri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar keluar selepas Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan untuk melepas dan membebaskan bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto, MOHD ADZLAN 21 JUN 2022.

SHAH ALAM – Kegagalan pihak pendakwaan membuktikan masa kematian bekas Ketua Pegawai Eksekutif  (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd. Nazrin Hassan menjadi faktor Samirah Muzaffar dan dua remaja dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab. Karim Ab. Rahman berkata, masa kejadian adalah bertentangan dengan keterangan saksi pendakwaan dan tidak tegas serta tidak meyakinkan mahkamah.

“Oleh itu pihak pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 jun 2018, ” katanya.

Ab. Karim dalam keputusannya menegaskan, pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie diakhir kes pendakwaan terhadap ketiga-ketiga tertuduh.

Tambah Ab. Karim, pihak pendakwaan juga gagal menampilkan bukti yang menunjukkan ketiga-tiga tertuduh bersama si mati ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Hakim itu dalam alasan penghakimannya, menyatakan kewujudan orang terakhir dalam kes tersebut mestilah mempunyai kesinambungan kepada Samirah dan dua remaja dengan jenayah ini.

“Dalam kes ini tidak ada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan ini serta tidak ada kesinambungan antara masa-masa kejadian dengan ketiga-tiga mereka.

“Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan hanya mengandaikan sahaja, kebersamaan terakhir si mati dengan tertuduh dan dua kanak-kanak itu pada masa-masa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mengandaikan sahaja adalah satu syak wasangka, ia bukanlah satu keterangan pembuktian sebenar. Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan teori orang terakhir bersama si mati,” katanya ketika membacakan penghakimannya.

Berhubung dengan isu petrol yang mana wujud tong yang berisi cecair di rumah si mati, mahkamah mendapati tiada kaitan tong itu dengan tertuduh-tertuduh, malah ahli kimia (berhubung tong petrol) tidak pernah dipanggil memberi keterangan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 6 September 2019 itu menyaksikan seramai 57 saksi pendakwaan dipanggil pada prosiding bicara peringkat pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Samirah, 47, dan dua lagi remaja serta seorang lagi yang masih bebas warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pembunuhan yang menyebabkan kematian Nazrin, 45.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi pada 14 Jun 2018. – MalaysiaGazette