Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih lagi menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung pindaan terhadap Seksyen 309 kanun keseksaan yang mensabitkan cubaan bunuh diri sebagai perbuatan jenayah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau juga telah membangkitkan perkara berkenaan di dalam mesyuarat Kabinet agar diwujudkan moratorium (penangguhan).

“Namun, pada pandangan Jemaah Menteri biar perkara ini dimuktamadkan di peringkat Jabatan Peguam Negara, tak perlu ada moratorium.

“Kita dapatkan pandangan dulu sama ada pembunuhan diri itu dapat dinyahkan daripada perbuatan jenayah. Jadi, kita masih lagi menunggu dan selepas itu Kabinet akan buat keputusan,” katanya pada sidang media secara hibrid, hari ini.

Sebelum ini, pada sidang Dewan Rakyat, Khairy memaklumkan, KKM akan menghantar memorandum berkenaan moratorium terhadap pendakwaan dan sabitan kesalahan cubaan bunuh diri.

Memorandum tersebut memohon Jemaah Menteri meluluskan moratorium segera agar tiada sebarang dakwaan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan bagi kes cubaan bunuh diri sehingga pindaan atau pemansuhan seksyen tersebut dilaksanakan di Parlimen.

Katanya, Bahagian Kawalan Penyakit KKM bersama input daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang dan Perkembangan Bahagian Perubatan telah menyediakan memorandum berkenaan untuk jemaah menteri.

KKM sebelum ini menegaskan mereka komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette