Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan bertoleransi terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga ayam dan telur secara mendadak bermula 1 Julai nanti.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan bertoleransi terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga ayam dan telur secara mendadak bermula 1 Julai nanti.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, meskipun subsidi kepada penternak ayam ditarik semula namun kementeriannya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kepada pihak yang menaikkan harga secara tidak munasabah. 

“Memang kita jangka dan diberitahu industri harga ayam dan telur akan naik bila ditanya berapa peratus saya yidak mahu sebut buat ketika ini sebab kami di KPDNHEP tadi pun saya tekankan kepada mereka boleh naikkan sebab kita faham kenaikan kos dan sebagainya tapi jangan naik terlalu tinggi.

“Kami juga beri amaran kepada mereka, kami tidak teragak-agak menggunakan akta-akta yang ada pada KPDNHEP jika selepas siasatan kita dapati mereka ini melanggari peraturan dalam kenaikan harga,” katanya ketika sidang media selepas Sesi Libat Urus Mengenai Isu Harga dan Bekalan bersama Pemain industri, persatuan dan pihak berkepentingan hari ini.

Dalam masa yang sama, Alexander memberi jaminan harga  sekilogram ayam akan mencecah sehingga RM12. 

“Adakah ia akan sampai RM12 sekilogram seperti yang diramal oleh pengusaha dari Johor. Kita dimaklumkan kenyataan itu tapi tadi dalam sesi libat urus, peraturan yang datang tadi menyatakan tidak akan sampai melebihi RM12 malah disebut lebih RM10 kita haraplah,” tambahnya.

Mengulas lebih lanjut, katanya, penguat kuasa KPDNHEP telah memulakan  pemantauan terhadap bekalan ayam dan telur di pasaran bagi mengelak berlaku penyembunyian bekalan.

“Kalau kita dapati ada kesalahan dilakukan kita akan ambil tindakan kalau ada aduan secara langsung. Kalau secara umum sahaja mungkin akan ambil masa untuk siasat ada atau tidak berlaku yang dikatakan,” tambah Alexander.

Terdahulu, katanya, terdapat pelbagai cadangan yang diutarakan kepada  kementeriannya menerusi sesi libat urus yang diadakan hari ini.

Antaranya cadangan memperkasakan kesedaran pengguna dan mengubah cara hidup dalam menghadapi kenaikan harga barang.

“Itu cadangan yang boleh diambil perhatian sebab apa yang kita beli perlu ikut keperluan. Turut disuarakan isu kekurangan pekerja dalam sektor pemerdagangan dan pengedaran yang semakin kritikal mengakibatkan kos operasi perniagaan meningkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast