Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyantuni pemandu teksi sempena Majlis Bantuan Prihatin Pahang Kluster Pemandu Teksi di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Mangsa banjir di Pahang yang tercicir daripada menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI)  diminta tampil dan membuat semakan di pejabat daerah masing-masing jika berlaku kelewatan pembayaran bantuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mangsa boleh menghubungi Pengerusi  Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang menguruskan berkaitan bencana.

Menurutnya, mangsa banjir tercicir bantuan perlu tampil  menghantar dokumen yang berkaitan bagi memudahkan proses dilakukan kepada penerima yang layak.

“Kalau dia layak, kita bagi, yang jadi masalah takut dia tak layak dapat tapi dapat pula, sebab ini duit kerajaan kita harus berhati-hati dalam menguruskannya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Bantuan Prihatin Pahang Kluster Pemandu Teksi di sini hari ini.

Jelas Wan Rosdy, isu tercicir bantuan berkenaan mungkin disebabkan masalah teknikal seperti tertinggal nama, tidak mendaftar dan sebagainya.

Beliau seterusnya memberi jaminan kepada semua mangsa banjir yang terkesan dan terlibat dengan pemindahan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akan menerima bantuan berkenaan.

“Saya bagi jaminan, kalau dia patut dapat, dia akan dapat. Kalau dia terlibat dengan pemindahan, dia patut dapat, bergantung kepada dokumen,” katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy menyampaikan sebanyak RM200 seorang kepada 207 pemandu teksi di daerah ini. – MalaysiaGazette