Peguam, S. Suresh yang bergaduh bersama pengamal media berjalan keluar selepas kes pembunuhan CEO Cradle Fund dan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Ab Karim Ab Rahman memutuskan untuk melepas dan membebaskan isteri serta dua anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto, MOHD ADZLAN 21 JUN 2022.

SHAH ALAM – Seorang peguam mewakili Samirah Muzaffar dan dua remaja dalam kes pembunuhan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund mengalami dua kecederaan di dahi selepas terlibat dalam pergelutan dengan jurugambar.

Kejadian berlaku awal pagi ini sebelum sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini berlangsung.

Ketika kejadian S Suresh sedang berjalan bersama Samirah dan peguam lain ke kamar mahkamah apabila mereka dikepung oleh jurugambar yang menjalankan tugas.

Suresh dikatakan menghampiri jurugambar dan merampas kad media yang tergantung pada lanyard di lehernya.

Suresh dilihat menepis kamera seorang jurugambar dan pengamal media itu dikatakan membalas dengan menendang peguam itu.

Seorang lagi jurugambar turut didakwa menolak Suresh ketika peguam itu memasuki satu lorong menuju ke kamar mahkamah.

 

Sureh yang ditemui selepas perbicaraan melibatkan kematian Nazrin Hassan berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu membuat laporan polis terhadap insiden berkenaan.

Dua luka berdarah kelihatan jelas pada dahi peguam tersebut.

Mahkamah Tinggi hari ini, memerintahkan Samirah Muzaffar bersama dua anaknya, dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47, yang juga balu Allahyarham Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.-MalaysiaGazette