Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPM) menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya berhati-hati dengan tawaran pakej badal haji yang terlalu murah.

Ini kerana terdapat agensi yang mendakwa pakej haji badal yang ditawarkan berharga rendah disebabkan mereka menggunakan perkhidmatan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Arab Saudi.

Yang Dipertuan PPM, Afiq Hadi Mohd Fauzi bagaimanapun menafikan pelajar terlibat dalam menyediakan perkhidmatan tersebut.

Menurutnya, Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan senaraiĀ  pakej dan permit haji bagi tahun ini dengan harga paling murah adalah sekitar RM12,000.

Kawalan ketat yang dikenakan terhadap pelaksanaan haji dengan hukuman denda terhadap mereka yang melaksanakan badal haji tanpa permit turut menghalang pelajar daripada terlibat dalam pakej yang ditawarkan.

Tambahan, katanya, mereka yang dikenakan tindakan tidak akan dibenarkan masuk ke Arab Saudi untuk tempoh 10 tahun.

“Maka dengan ini persatuan pelajar Malaysia Mekah menafikan dakwaan sebahagian pihak/syarikat/individu yang mendakwa badal haji yang mereka ambil dilakukan oleh Pelajar Malaysia Mekah.

“Dan menggesa semua pihak yang ingin melaksanakan badal haji supaya berhati-hati dari tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawabn dan amanah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial sebahagian pihak atau syarikat yang mengambil upah badal haji bagi tahun 2022 dengan kos yang terlalu rendah dan mendakwa ia dilakukan oleh pelajar Malaysia Mekah.- MalaysiaGazette