Polis menagih bantuan saksi kemalangan maut membabitkan pelajar sekolah awalpagi tadi di kota damansara untuk membantu siasatan .- Gambar Ihsan: IPD Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun maut dalam kemalangan di persimpangan Persiaran Mahogani – Jalan Rimba Riang 9/1, Kota Damansara dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian pukul 7.25 pagi, mangsa yang menunggang motosikal terlibat kemalangan dengan sebuah kereta.

“Mangsa penunggang motosikal datang dari arah Jalan Kuala Selangor-Kepong menghala ke Kota Damansara apabila sampai di persimpangan Persiaran Mahogani- Jalan Rimba Riang 9/1 telah terlanggar dengan kereta dari arah hadapan yang hendak masuk simpang kanan ke Jalan Rimba Riang 9/1.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal yang merupakan seorang pelajar sekolah lelaki warganegara tempatan  telah mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, berikutan kejadian itu, polis telah meneruskan siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta kerjasama orang ramai yang menjadi saksi insiden kemalangan maut itu untuk membantu siasatan kes melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan kereta jenis Nissan Grand Livina.

Menurutnya, sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian itu agar tampil segera ke mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.

“Pihak polis mengingatkan serta memohon semua pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang jalan raya.

“Selain itu, ibu bapa dan penjaga yang didapati cuai boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2000 sekiranya didapati membenarkan anak-anak memandu kenderaan tanpa lesen,” tegasnya.- MalaysiaGazette