Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan beliau tidak pernah menerima apa-apa sumbangan secara peribadi daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) .

Lantaran itu, beliau bersedia untuk dipanggil oleh mana-mana pihak untuk disiasat.

“Saya nak nyatakan bahawa saya tak pernah terima apa-apa secara peribadi seperti mana yang telah pun dilaporkan.

“Saya tak pernah terima apa-apa wang dalam kes tersebut dan perkara ini jika dipanggil oleh mana-mana pihak untuk memberikan keterangan saya bersedia untuk memberikan kerjasama yang sepenuhnya,” katanya pada sidang media secara maya sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Sebelum ini, nama Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau dikaitkan dengan siasatan yang dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau dikatakan antara lima ahli politik yang disebut menerima dana politik pada 2018.

Nama lain yang turut disebut adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Kesemua nama itu dikatakan tertera dalam lejer syarikat berkenaan,

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun ketika pemeriksaan balas di mahkamah mengesahkan Khairy menerima dana politik berjumlah RM3.7 juta.

SPRM dalam kenyataannya baru-baru ini berkata, suruhanjaya itu akan menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009. – MalaysiaGazette